Showing posts with label Isu Semasa. Show all posts
Showing posts with label Isu Semasa. Show all posts

Tuesday, December 23, 2014

Anak muda Sabah membantah tindakan INTERPOL


Mahasiswa dan Anak Muda Sabah bersatu membantah kenyataan notis penangkapan terhadap Ulama dunia, Prof. Dr. Sheikh Yusuf al-Qaradhawi oleh  (Organisasi Polis Jenayah Antarabangsa) INTERPOL.

MARSIS (Markaz Siswa Siswi Islam Sabah) selaku pertubuhan mahasiswa Islam Sabah yang berdaftar,  bersama-sama seluruh anak muda Sabah serta seluruh umat Islam membantah tindakan  Organisasi Polis Jenayah Antarabangsa (INTERPOL) yang mempunyai niat untuk menangkap Ketua Ulama Sedunia, Prof. Dr. Sheikh Yusuf al-Qaradhawi seperti yang dipaparkan oleh kenyataan INTERPOL  yang mengeluarkan waran penangkapan ulama sedunia itu. INTERPOL telah memasukkan Sheikh Yusuf al-Qaradhawi, ketua persatuan ulama Muslim dunia (IUMS), dalam daftar pencarian orang yang sangat dikehendaki. 

Hal ini demikian, ulama terkenal dunia Islam itu disabitkan dengan tuduhan seperti menghasut dan membantu pembunuhan antarabangsa, membantu banduan melepaskan diri daripada penjara serta aktviti vandalisme dan kecurian. Penyataan ini adalah satu tuduhan yang bersifat melulu, dan tidak dibuktikan secara jelas.

Tambahan pula, kerahan penangkapan itu dikeluarkan atas permohonan Pendakwaraya Mesir, Jeneral Hisham Barakat terhadap pihak INTERPOL untuk menahan Prof. Dr Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa Mesir pada Disember tahun lepas. Ini menzahirkan tindakan INTERPOL adalah atas pengaruh pihak luar (Mesir) bukan berdasarkan kajian dan bukti yang jelas.

Tindakan Mesir ini adalah suatu tindakan yang meragukan kerana seluruh dunia sebelum ini telah menyaksikan penindasan politik terhadap rakyat Mesir di samping pelbagai lagi kezaliman yang berlaku.  
 
Perlu diingat bahawa Malaysia dahulu  telah menobatkan Prof. Dr. Sheikh Yusuf al-Qaradhawi sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabanga pada tahun 2009 serta anugerah Ijazah Kehormat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada tahun 1996. Selain itu, sumbangan beliau yang besar dan tidak terkira dalam keilmuan dan dunia Islam tidak dapat disangkal lagi.  

Sheikh ketika dihubungi dan ditanya tentang penyataan cubaan penangkapan INTERPOL terhadap beliau, beliau memberi komen bahawa beliau sudah berusia 88 tahun tidak boleh bergerak pergi atas faktor kesihatan, bahkan memerlukan bantuan pembantunya. Ini adalah sesuatu yang mengelirukan apabila beliau disabitkan dengan tuduhan sebagai pengganas!

MARSIS berpandangan bahawa isu inilah bukan semata-mata isu agama tetapi melibatkan soal keadilan dan perikemanusiaan.

Di samping itu, MARSIS berpendapat tegas bahawa OIC sebagai sebuah badan penting di dunia Islam hendaklah menjalankan peranan bersama lain-lain NGO di seluruh dunia, mencari jalan terbaik bagi menyelamatkan Prof. Dr. Yusuf Sheikh al-Qaradawi dari penganiayaan dan penghinaan ke atas diri beliau!

Oleh sebab itu, MARSIS menyeru seluruh anak muda Sabah untuk mengambil sikap prihatin dan cakna terhadap isu ini seterusnya bersatu membantah tindakan INTERPOL terhadap Prof. Dr. Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi. Pelbagai cara boleh dilakukan sebagai tanda protes walaupun secara kempen di media sosial dan ini merupakan suatu usaha yang dianggap baik untuk menarik perhatian masyarakat terhadap isu ini.

MARSIS mewakili seluruh anak muda Sabah, bersama-sama NGO-NGO Malaysia lain, dan seluruh warga Malaysia memohon Kerajaan Malaysia supaya segera mengambil usaha tegas serta bersama-sama dengan beberapa buah kerajaan di dunia Islam untuk membantah tindakan MESIR yang menyebabkan INTERPOL menyenaraikan Prof. Dr. Sheikh Yusuf al-Qaradawi sebagai salah seorang yang terlibat dengan keganasan!

Bersatu untuk keadilan!

“MARSIS Prihatin!”

Muhammad Syarifuddin Sabri
Exco Tarbiyyah MARSIS Pusat


Wednesday, February 26, 2014

Pengamatan Sirah Daripada Perspektif Politik

Beberapa persoalan politik dan hubungkaitnya dengan sirah Nabawiyyah pada zaman Rasulullah s.a.w. yang mungkin pernah kita temui atau terlintas di fikiran.

“Ada apa dengan politik dan Islam?”
“Bagaimana yang dimaksudkan politik Islam!”

Definisi politik berbeza mengikut latar belakang seseorang yang mengambil kira pendidikan seseorang itu, latar belakang keluarganya mahupun corak pemikiran masyarakat sekitarnya. Persepsi negatif atau positif bergantung kepada faktor tersebut  yang mempengaruhi garis pandangannya. Bagaimana pula dengan politik yang diamalkan Rasulullah? Sebelum itu, alangkah baik untuk lebih memahami asal usul atau definisi politik itu sendiri.

Politik berasal daripada perkataan greek iaitu ‘polis’ yang bermaksud kajian tentang kenegaraan, juga bermaksud pengurusan atau pentadbiran. Justeru, mereka yang menganggap bahawa politik ialah demokrasi, politik ialah pilihanraya, telah melakukan kesilapan besar dalam memahaminya  sedangkan skop politik itu luas dan bukan sekadar itu sahaja. Umumnya politik boleh difahami sebagai pentadbiran. Mengurus kelas juga memerlukan politik, mengurus keluarga juga memerlukan politik, bahkan kebanyakan perkara memerlukan politik kerana maksudnya secara umum ialah pentadbiran!

Ketika menyelak kembali lembaran sirah Nabi Muhammad saw, salah satu perkara yang boleh dilihat sebagai pemudah cara memahami  strategi politik adalah dengan memfokuskan kepada sejarah penubuhan Madinah. Politik dalam Islam haruslah diteliti dan difahami secara stumul bagi membuang tafsiran yang negatif dalam memahami politik itu sendiri. Di samping itu, ramai hari ini membaca sejarah Rasulullah secara juz’iyyah atau secara tidak menyeluruh, bahkan gagal memahami tema yang dipaparkan seperti konteks politik dalam sejarah.

Pada suatu masa, ketika Nabi Muhammad saw dilantik menjadi Rasul, baginda telah pun menyedari bahawa baginda akan menjadi ketua Negara. Oleh sebab itu, tidak dapat dinafikan aspek kekuasaan dan politik diperlukan dalam meyebarluaskan dakwah Islam. Pengamatan sirah Rasulullah secara mendalam akan menemukan bahawa kebanyakan perisitiwa yang berlaku atau perbuatan dalam  kehidupan Rasulullah adalah ke arah pemerintahan.
Dalam lipatan sirah Rasulullah saw, pelbagai kecaman dan tentangan yang dihadapi oleh Rasulullah saw. Salah satu daripadanya adalah daripada bapa saudara
 Rasulullah saw sendiri, Abu Lahab. Ringkasnya, bagaimana hebatnya hinaan dan serangan Abu Lahab kepada Rasulullah saw sehingga Allah menghina Abu Lahab dengan menurunkan satu surah khas menyebut kerendahan Abu Lahab iaitu Surah al-Masad yang berbunyi;


 Jika diamati melalui aspek politik, inilah adalah salah satu serangan politik berbentuk propaganda kepada Abu lahab sebagai pemimpin Quraisy pada masa itu dengan menjatuhkan maruah di samping menjejaskan kewibaannya.

Dalam fasa penubuhan Negara Madinah, iaitu setelah hijrahnya Rasulullah dari Makkah ke Madinah bersama-sama para sahabatnya dan diterima baik oleh orang-orang anshar, Islam telah berkembang, tersebar luas dan diterima oleh banyak kabilah-kabilah arab.  Kekuatan dan ekonomi Madinah telah menjadi kukuh.  Orang-orang arab Quraisy Makkah tidak senang hati dengan kemajuan ini. Salah satu strategi politik Rasulullah dapat dilihat melalui penghantaran tentera ke sempadan Madinah untuk mengawasi dan bersikap berjaga-jaga. Hal ini demikian, apabila tertegaknya sistem Islam, sudah pasti berlakunya perang dingin antara Madinah dan Makkah disebabkan permusuhan yang berlaku berpunca daripada orang musyrik Quraisy itu sendiri.  

Antara strategi politik yang menarik juga adalah dalam peristiwa penurunan ayat  217, Surah al-Baqarah.

 Sebab turun (sababun nuzul) ayat ini, menurut riwayat dari Ibn ‘Abbas, bahwa Rasulullah saw pada  bulan Jamadil Akhir, dua bulan sebelum perang Badar, mengutus ‘Abdullah Ibn Jahsy membawa satu pasukan untuk menghadang kafilah orang Quraisy yang terdiri dari ‘Amr Ibn ‘Abdillah dan tiga orang lainnya. Pasukan tersebut berhasil membunuh ‘Amr dan menahan dua orang dan mengiring  kafilah tersebut beserta dagangannya. Peristiwa ini terjadi pada awal bulan Rajab, tetapi mereka menyangka bulan Jamadil Akhir. Maka orang-orang Quraisy mempersoalkan tindakan tersebut dengan menyatakan bahawa: Muhammad telah menghalalkan bulan haram sebagaimana sepatutynya  pada bulan itu orang-orang merasa aman untuk mencari kehidupan. Kemudian Rasulullah saw menghentikan kafilah tersebut, tetapi mereka berkata: Kami akan berhenti hingga sampai ke tempat kembali kami. Kemudian turunlah ayat;

“Mereka bertanya kepadamu tentang berperang pada bulan haram.  Katakanlah:Berperang pada bulan haram itu adalah dosa besar; tetapi (menghalangi) manusia dari jalan Allah, kafir kepada Allah, (menghalangi masuk)  masjid  al haram dan mengusir penduduknya dari sekitarnya, lebih besar dosanya di sisi Allah. Dan berbuat fitnah lebih besar dosanya dari pada membunuh. Mereka tidak hentu-hentinya memerangi kamu sampai mereka dapat mengembalikan kamu dari agamamu (dari kekafiran), seandaiunya mereka sanggup. Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.  Al Baqarah : 217.

Dalam ayat ini disebutkan bahawa fitnah yang dilakukan oleh kaum musyrik itu lebih besar daripada pembunuhan yang berlaku. Fitnah yang dimaksudkan ialah penganiayaan kaum musyrik Quraisy terhadap orang Islam di Makkah. Di sini terselahnya strategi politik Rasulullah saw dengan panduan wahyu Allah bagi menjawab propaganda buruk berbentuk tuduhan yang dilontarkan oleh kaum musyrik Quraisy.  

Kesimpulanya, banyak lagi peristiwa dalam sirah Rasulullah saw yang boleh dianalisi menerusi perspektif politik. Variasi ibrah dapat diambil bagi membersihkan tuduhan-tuduhan orientalis terhadap Rasulullah saw. Salah satu perkara yang sepatutnya diperbetulkan, umat Islam itu sendiri sepatutnya melihat sirah Rasulullah saw itu dalam segenap aspek, bukan sekadar menjdi bahan bacaan biasa untuk melunaskan hobi membaca.

Lujnah Tarbiyyah MARSIS 13/15

Wednesday, January 15, 2014

Salam Maulidurrasul 1435H/2014M




Salam Maulidurrasul 1435H

Asssalamualaikum teman-teman yang dikasihi Allah,

Marilah kita mengambil kefahaman dari kelahiran Nabi Muhammad 
sallallahu alaihi wasallam dan kerasulannya ketika umat Islam di 
seluruh dunia menyambut peristiwa yang besar ini bukan hanya sekadar mengagungkan cogan kata dan lambang-lambang yang dimegahkan tanpa menghayati ajarannya yang sebenar.

Semoga sambutan ini menguatkan iltizam kita untuk menegakkan sunnah baginda sepanjang tahun dan sepanjang hayat kita. Tidak cukup hanya menunjukkan rasa gembira dengan bercuti, mengadakan perarakan dan berslogan mencintai Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Akan tetapi gembirakan lah Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dengan mengamalkan dan menegakkan segala suruhan baginda, serta meninggalkan dan berusaha menghalang segala yang dibenci baginda.

Perbanyakan selawat dan amalkan sunnah semampu diri kita.

“Katakanlah: Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, maka ikutilah (sunnah/petunjuk) ku, niscaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu, Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (QS Ali ‘Imran: 31).

Allahumma solli 'Ala Muhammad wa 'Ala Ali wa sohbihi wa sallam.
Semoga kita semua bertambah cinta kepada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dan beroleh cinta Allah dan Rasul-Nya.

Selamat menyambut Maulidur Rasul 1435H

Dg Fatin Hamamah Bte Ismail
Timbalan Presiden MARSIS 2013/2015
"Marsis Prihatin : Dekat Di Hati"

Friday, January 10, 2014

Sumbangan buat GAZA


Bismillah wa Alhamdulillah, Marsis Training & Services telahpun memberi sumbangan bantuan kewangan untuk Gaza melalui NGO Muslim Care. Anda pula bagaimana? 

InsyaAllah tak lama lagi, dua wakil Muslim Care dari Malaysia akan ke Gaza iaitu Tuan Zulkifli Wahijan (bendahari) dan Tuan Ridhuan Md Noor (exco) manakala seorang lagi wakil Muslim Care berada di United Kingdom, Tuan Alias. Mereka akan bergabung dengan beberapa NGO dari negara lain dan akan berada di Gaza selama tiga hari. 

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan ke Akaun Maybank Muslim Care (Viva Palestin) 5644 902 111 59 atau ke Akaun RHB (Muslim Care) 2621 2000 004747

Selain bantuan segera ini, Muslim Care turut mensasarkan kutipan RM1 juta bagi membantu rakyat Palestin menjelang awal tahun hadapan. Isu Palestin adalah ISU KITA! Sumbanglah apa yang termampu, dalam bentuk apapun - material - kesedaran - dll. Elakkan memperlekeh usaha-usaha sahabat yang lain. Sungguh! kita ini bersaudara. 



Dg Siti Khairunnisa Ismail
Exco Perhubungan dan Penerangan
Markas Siswa Siswi Islam Sabah (MARSIS)

PTPTN : ANTARA HAK DAN PERJUANGAN

      Assalamualaikum dan salam perjuangan kepada semua anak muda Sabah yang berada dimana jua.Serta selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW,Kekasih Allah.Dipanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana masih lagi memberikan peluang kepada kita untuk bernafas didunia ini selaku hambaNYA. 

    Bila bercakap soal perjuangan dan pendidikan,saya teringat kepada isu yang sedang berlaku sekarang ini.Rentetan daripada demonstrasi mahasiswa pada 14 April yang lepas,sehingga kini hari ke-7 mahasiswa masih bertahan untuk terus berkampung sehingga BERSIH 3.0 pada 28 April nanti.PTPTN merupakan isu sensitif yang diperjuangkan oleh mahasiswa sejak awal penubuhannya.Kenaikan ‘bunga’ pada setiap pinjaman itu sudah menjadi riba kerana melebihi 3% daripada jumlah yang sepatutnya pada hukum syara’.Memetik kata Ustaz Zhaharudin “ Qardhul Hasan atau pinjaman tanpa sebarang faedah boleh digantikan dengan sistem yang ada.Usahakan dahulu pinjaman dengan keluarga atau kerabat sebelum berfikir untuk menggunakan PTPTN sebagai jalan ”. 

      Pendidikan percuma sewajarnya menjadi hak semua individu.Bukan sahaja hak itu kepada murid sekolah rendah,pelajar sekolah menengah tetapi jua kepada mahasiswa institusi pengajian tinggi.Malaysia mesti belajar daripada Sweden,Chile,Brazil,China,Scotland,Brunei Darussalam,Argentina,Norway,Greece,Mauritius,Finland dan Jerman.Brunei,contohnya.Memberikan peluang sepenuhnya kepada rakyatnya seawal usia 5 tahun untuk menerima pendidikan percuma sehingga mendapat segulung ijazah.Bukan kerana negaranya itu kecil dari sudut demografi dan struktur sosial Malaysia tetapi kerana pentadbirannya yang kemas dan tersusun untuk menjadikan rakyatnya berpendidikan sehingga kadar buta huruf menurun. 

     Pandangan peribadi saya berhubung pendidikan percuma ini ialah pentadbiran Malaysia mesti mempunyai satu sistem yang komprehensif agar tidak berlaku ketirisan besar dalam pengurusan kewangan.Hutang para peminjam PTPTN yang dikatakan sebanyak 27.5 billion itu tidak standing dengan kos projek-projek besar kerajaan yang masih belum diketahui bagaimana statusnya.Pendidikan percuma yang rakyat berhak perolehi ialah 0% yuran pengajian disamping harga barang yang stabil dan munasabah sesuai dengan kadar pendapatan rakyat kelas bawahan.Pilihan kerajaan ada dua.Menukar sistem sedia ada PTPTN yang berunsurkan riba’ kepada qardhul hasan atau memansuhkannya terus dan menggantikan dengan sistem biasiswa yang nyata lebih efisyen. 

     Sehubungan dengan itu,saya menyeru kepada semua mahasiswa dan anak muda yang masih lagi buntu dalam membuat pilihan terbaik agar sedaya upaya berusaha dahulu agar tidak mempunyai sesalan yang berpanjangan.Islam miliki banyak jalan penyelesaian yang terbaik.Pilihan demi masa depan ada pada kita.Caranya hanya dengan buat pilihan terbaik.Samada susah dahulu senang kemudian atau susah dahulu susah jua kemudian.Saya yakin,seandainya pemimpin sedia ada sudi mendengar suara rakyat marhaen pasti tidak akan berlaku penindasan dan kezaliman yang nyata kepada rakyat.Lazimnya seorang peminjam membayar hutangnya tetapi jika adanya riba’ dosa itu lebih berat kepada orang yang memberi pinjaman.Iklan ‘Kami bukan ALONG’ sentiasa disiarkan tetapi tanpa sedar rupanya PTPTN menjadi ALONG.Marilah kita bersama mendidik rakyat agar sentiasa peka dengan hak kita. 

     Akhir kata dari saya,suka saya membawakan kepada anda semua firman Allah ini : “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya ” ( Ayat 90 : Surah an-Nahl ). 

Mudah-mudahan kita sama mempertahankan hak dan pendirian daripada terus dicabuli pihak yang tidak bertanggungjawab. 

Sebagai tambahan,saya selitkan beberapa laman sesawang untuk anda kunjungi sebagai rujukan :
1. http://www.gov.bn/bm/Services/Categories/Pages/Education.aspx - Brunei Darussalam
2.http://www.ntnu.edu/studies/financing-and-scholarships - Norway
3.http://www.daad.de/ausland/index.en.html - German
4.http://zaharuddin.net/hal-ehwal-riba/531-ptptn-hukum-a-kos-perkhidmatan.html - Ustaz Zaharudin Abdul Rahman.

Presiden MARSIS,
Mohamad Matassian bin Ogus

ANAK SABAH PRIHATIN : ITULAH KITA

Bismillahirrahmanirrahim.Assalamualaikum dan salam perjuangan buat semua sahabat yang insya’ Allah masih berusaha untuk menjadi seorang hambaNYA yang bersyukur.Semoga iman dan Islam yang dianugerahkan itu masih terjaga dalam niat kerana Allah. 

Sebelum saya memanjangkan kalam ini,izinkan saya menghadiahkan kepada kalian sepotong Kalamullah yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya ” – Surah An-Nahl,ayat 90. 

Sekarang ini sahabat,negeri kita berada dalam keadaan yang sangat genting dan mendesak.Kezaliman yang dilakukan orang pihak yang tidak bertanggungjawab membuatkan rakyat negeri kita senyap daripada membuat sebarang pengaduan.Ini berlaku bukan kerana mereka berasa takut tetapi kerana mereka sudah ketahui bahawa aduan mereka hanya akan dipandang sepi. 

Berikut antara aduan pencabulan hak tanah adat atau Native Customary Rights Land ( NCR ) yang masih lagi tidak diselesaikan sehingga ke tahun 2012 ini :- 
1. Pemprosesan permohonan tanah dan pengeluaran geran, dan lain-lain (Jabatan Tanah dan Ukur Sabah) = 632 aduan 
2. Pengambilan Tanah/Land Acquisition (Jabatan Tanah dan Ukur Sabah) = 53 aduan 
3. Tanah NCR termasuk dalam kawasan yang digazet sebagai hutan simpan (Jabatan Perhutanan Sabah) = 63 aduan 
4. Tanah NCR termasuk dalam kawasan yang digazet kepada SAFODA (Sabah Forest Development Authority) = 23 aduan 
5. Tanah NCR termasuk dalam kawasan yang diberikan kepada LIGS/Agropolitan yang diusahakan oleh LIGS (Lembaga Industri Getah Sabah) = 6 aduan 
6. Tanah NCR termasuk dalam kawasan SFI (Sabah Forest Industries) = 3 aduan 
7. Tanah NCR termasuk dalam kawasan yang digazet kepada SLDB (Sabah Land Development Board) = 3 aduan 
8. Tanah NCR termasuk dalam kawasan yang digazet kepada Jabatan Parit dan Saliran = 1 aduan 

Bagi saya,ini antara aduan yang diterima secara rasmi.Belum lagi aduan dan rampasan yang berlaku secara tersembunyi oleh mana-mana pihak yang tidak jujur dalam menjalankan tugas yang diamanahkan oleh rakyat.Oleh itu saya menyeru kepada semua sahabat agar turut serta menyatakan sokongan NGO TABAH pada 12 Mac ini dalam usaha untuk menuntut pembebasan kezaliman terhadap pribumi Sabah yang tertindas selama ini. 

Adalah menjadi tanggungjawab kita selaku mahasiswa yang berada di perantauan untuk menyebarkan dan memahamkan kondisi sebenar negeri kita kepada rakyat agar mereka jua menjadi individu dan komuniti yang peka.Sebarkan kebenaran selagi mana ianya tidak melanggar syariat Allah.Dua perkara yang perlu dijaga dan diambil kira iaitu Syariatullah dan Sunnatullah.Jika dua ini beriringan,insya’ Allah kita tidak akan lalai.Seumpama pelajari ilmu fardhu kifayah ( Sains,Kalkulus dan sebagainya ) dan ilmu fardhu ain ( Solat,Baca al-Quran,pengurusan jenazah dan sebagainya ) yang mana jangan ambil salah satu dan jangan pula tinggalkan salah satu.Ambil keduanya agar penghayatan ilmu dan taqwa kepada Allah bertambah. 

Akhir kata dari saya,sahabat semua dan saya sendiri agar dapat menjaga prinsip dan pendirian untuk mencari kebenaran selagi hayat dikandung badan dan sepanjang menjadi musafir di atas bumi ini.Kita adalah khalifah Allah.Tugas kita selain menuntut ilmu,kita jua seorang hamba Allah,seorang anak,seorang pejuang,seorang pemimpin dan seorang ‘manusia’.Seimbangi urusan dunia dan akhirat.Paling penting,bijaklah dalam membuat pilihan.

Timbalan Presiden,
Siti Rosinah.

Belasungkawa Buat Necmetin Najmullah Erbakan

Necmettin (Najmuddin) Erbakan, seorang pemimpin gerakan Islam politik di Turki dan mantan perdana menteri negara itu, dilaporkan telah meninggal dunia. Erbakan, 85 tahun, meninggal di Hospital Ankara Guven pada Ahad (27/2). Nama Erbakan tidak asing dalam gelanggang gerakan Islam. Beliau pernah menerajui gerakan Islam di Turki dengan membawa banyak pembaharuan dan ijtihad yang baharu.


Pemergian beliau dirasai seluruh gerakan Islam di dunia terutamanya di Turki. Jika kita lihat Erdogan seorang yang lantang, berani serta berstrategi, perlu diketahui bahawa Erbakan adalah sifunya.

Namun mungkin ada kalangan kita yang belum mengenali beliau secara lanjut. Di sini saya cuba kongsikan sedikit latar belakang kepada sosok yang berjasa besar kepada revolusi kebangkitan rakyat yang berlaku di Timur Tengah hari ini.


Siapa Dia Erbakan?

Necmetin Erbakan adalah Perdana Menteri Turki dari tahun 1996-1997. Beliau lahir pada 29 Oktober 1926 di Sinop, Utara Turki. Beliau membesar bersama enam orang adik-beradiknya dalam sebuah keluarga yang berpegang teguh pada paksi Islam.

Beliau mendapat didikan awal di Trabzon. Kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Sekolah Tinggi Lelaki Istanbul Lisesi. Kembara ilmunya diteruskan di peringkat universiti apabila ditawarkan ke Universiti Teknikan Istanbul dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal pada tahun 1948. Beliau antara pelajar yang cemerlang dalam akademik bermula di bangku sekolah hingga ke peringkat universiti.

Pengajiannya di universiti tersebut tidak terhenti di peringkat ijazah bahkan beliau berjaya memperoleh ijazah kedoktoran (PhD). Tidk cukup dengan itu, beliau bermusafir ke Jerman demi memenuhkan ilmu di dada. Beliau memperoleh PhD keduanya di RWTH Aachen University, Jerman dalam bidang Kejuruteraan Termo-dinamik. Erbakan merupakan rakyat Turki pertama yang mendapat ijazah kedoktoran dari sebuah universiti di Jerman.

Mencipta Kereta Kebal
Semasa berada di Jerman dari tahun 1954-1956, Erbakan bekerja sebagai jurutera dan saintis. Beliau pernah dilantik sebagai ketua jurutera dalam projek mereka bentuk Kereta Kebal German Leapord 1A. Tahun 1957 beliau pulang ke tanah air dan mendirikan kilang enjin bermotor Deutz. Ia adalah satu kejayaan besar bagi negara dan rakyat Turki kerana berjaya membangunkan industri permotoran bertaraf dunia.

Pada masa yang sama Erbakan turut menjadi pensyarah di Universiti Teknikal Istanbul. Beliau dianugerahkan gelaran profesor dalam bidang fizik pada tahun 1965. Tahun berikutnya beliau terpilih sebagai Pengerusi Dewan Perdagangan dan Industri (TOB) iaitu sebuah pertubuhan industri yang berpengaruh. Erbakan juga pernah diberi kepercayaan untuk menyandang jawatan Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal.

Bertukar Haluan Demi Nasib Sejagat
Melihat nasib Islam dan umatnya yang berterusan diinjak di tanah air tercinta, Erbakan mengambil keputusan untuk memasuki kancah politik. Cubaan kali dengan bertanding di atas tiket bebas dalam pilihan raya bagi merebut kerusi Parlimen Konya. Beliau memenangi kerusi tersebut dengan kemenangan yang besar. Dengan itu beliau menjadi anggota Dewan Perhimpunan Kebangsaan Turki.

Pada tahun 1970. Erbakan menjadi pemimpin Milli Selamet Partisi (NSP) atau Parti Penyelamat Nasional. Tahun berikutnya mahkamah mengharamkan parti tersebut dengan tuduhan cuba menimbulkan kesedaran dan kebangkitan agama yang bertentangan dengan dasar sekular negara tersebut.

Undang-undang bobrok Republik Turki yang mengharamkan NSP langsung tidak memadamkan obor perjuangan beliau. Bahkan makin marak menjulang keadilan. Rentetan daripada itu, dengan lebih berani Erbakan menubuhkan parti Islam pertama di Turki iaitu Milli Nizam Partisi (MNP). Sayap Islam terus merebak dan mencapah ke seluruh Turki. Beliau berjaya membuka cawangan parti ke seluruh negara. MNP memdapat sambutan dan dokongan daripada rakyat mahupun media massa dalam negara kerana dasar Islamisasi seperti memperjuangkan akhlak mulia, keadilan sosial dan kebebasan bersuara. Cubaan pertama parti ini pada pilihan raya 1973 berjaya memenangi 49 daripada 450 kerusi yang dipertandingkan.

Erbakan pernah dilantik menjadi menteri dalam kerajan campuran pada tahun 1974 di bawah Bulent Ecevit dari Cumhuriyet Halk Partisi (Parti Republkan Rakyat). Namun kerajaan campuran ini tidak kekal lama. Ia digulingkan tentera pada tahun 1979. Rampasan kuasa dilakukan oleh pihak tentera setelah menyedari dasar sekular Turki kian terancam oleh kerajaan campuran tersebut. Erbakan juga dilarang melibatkan diri dengan politik selama tujuh tahun.


Berjaya Menawan Turki
Setelah penarikan balik pengharaman berpolitik oleh pihak tentera, Erbakan meneruskan survival Islam dengan menubuhkan Parti Refah (Parti Kebajikan) pada tahun 1983. Sokongan dan dokongan padu rakyat terhadap Parti Refah terutamanya golongan kelas bawahan kerana parti ini membela mereka. Pada pilihan raya 1995 parti ini menang besar sebanyak 158 kerusi.


Kemenangan besar Parti Refah bersama Dogru Yol Partisi (Parti Haluan Benar) yang mendapat 135 kerusi membolehkan satu kerajaan campuran dibentuk seterusnya Erbakan diberi kepercayaan memegang tampuk Perdana Menteri. Namun, musuh tidak berdiam diri. Tekanan pihak sekular Turki mendesan Erbakan meletak jawatan dan akhirnya Parti Refah diharamkan pada tahun 1998. Walaupun singkat tempoh pemerintahan Erbakan, beliau berjaya melaksanakan beberap dasar-dasar Islam seperti pemakaian menutup aurat di tempat kerja.


Patah tumbuh hilang berganti. Pengharaman Parti Refah bukan penutup perjuangan Erbakan. Seterusnya beliau menubuhkan Parti Fazilet. Parti ini turut menang besar dalam pilihan raya 1999 apabila memenangi 111 kerusi parlimen. Namun, seperti mana nasib parti-parti sebelumnya, Parti Fazilet turut diharamkan pada tahun 2001 atas alasan menghidupkan gerakan anti-sekular.


Seterusnya panji perjuangan mendaulatkan Islam di Turki diserahkan kepada anak didik beliau iaitu Recep Tayyip Erdogan. Benarlah telahan bahawa Islam itu tetap terpelihara dan akan didatangkan 'rijal' untuk menjadi penolong agama Allah.

"Necmetin Najmullah Erbakan telah melangsaikan hutang perjuangannya dan pergi menhadap Allah dengan senyuman kemenangan. Erbakan telah memulakan perjuangan menjulang nama Allah setingginya serta menyebarluaskan idea faham Islam ke seluruh ceruk muka bumi. Pusaka perjuangan yang takkan lapuk, kitalah pewarisnya! "
Al Fatihah buat Allahyarham...

Revolusi Tunisia: Semut Menggulingkan Gajah



Bouazizi
Ben Ali & Isteri (laila)
Bahang iklim politik di Tunisia baru-baru ini kian membakar. Kes penggulingan kerajaan di Tunisia telahpun menjadi peristiwa pembuka tirai tahun baru 2011 apabila Kerajaan Tunisia digulingkan menerusi gelombang kebangkitan rakyat. Sememangnya peristiwa ini merupakan salah satu peristiwa revolusi yang berlaku kini. Seperti mana peristiwa penggulingan Ferdinand Marcos di Filipina, Juan Peron di Argentina, Jeneral Chun Doo Hwan di Korea Selatan dan juga Shah Reza Pahlevi di Iran, Zeine El Abidin Ben Ali juga turut digulingkan melalui gelombang kebangkitan rakyat.

Kisah pengulingan di Tunisia ini bermula seorang pemuda berusia 26 tahun yang berdagang sayur dan buah-buahan membakar dirinya apabila pihak polis bertindak ganas merampas barang dagangannya pada 17 Disember 2010. Peristiwa itu telah menjadi pemangkin kepada kebangkitan rakyat di Tunis untuk keluar daripada cengkaman pemerintahan yang zalim dan mengamalkan korupsi. Nama Mohamed Bouazizi memang tidak dapat dilupakan oleh keluarga Ben Ali kerana telah menjatuhkan kerajaan yang diperintah oleh Ben Ali selama 23 tahun ini.

Gerakan yang bermula akibat daripada insiden pembakaran Mohamed Bouazizi ini telah menggerakkan satu gerakan demonstrasi besar-besaran. Demonstrasi ini bermula daripada daerah Sidi bouzid yang terletak kira-kira 265 Kilometer daripada ibukota Tunis. Golongan reformis pada mulanya mengkritik keadaan ekonomi dibawah pemerintahan Ben Ali agak teruk dan kadar pengangguran yang tinggi di Negara tersebut.  Gerakan anti-kerajaan telahpun merebak ke beberapa daerah seperti merebaknya jangkitan virus pada komputer.

Pemerintahan yang zalim di bawah Zeine El Abidin Ben Ali dilakukan sejak mulanya rampasan kuasa terhadap Habib Bourquiba. Kudeta tidak berdarah itu menyaksikan Zeine El Abidin Ben Ali menjatuhkan Habib Bourquiba dengan alasan Habib Bourquiba mempunyai masalah kesihatan dan perlembagaan yang mengantinya sebagai presiden Tunisia yang kedua.

Pencabulan hak asasi oleh pemerintah merancakkan lagi peristiwa tunjuk perasaan ini. Kebebasan bersuara rakyat disekat apabila beberapa orang blogger ditahan akibat daripada menyebarkan risalah anti-pemerintah di internet. Laporan menyatakan bahawa lebih kurang enam orang blogger telah ditahan dan kemudiannya dibebaskan. Ada yang menyatakan bahawa rusuhan ini dirancakkan lagi oleh laman sosial seperti facebook dan twitter. Gambar polis yang melakukan penyalahgunaan kuasa disebar luas di laman facebook.

Pemerintahan yang mengamalkan korupsi ini telahpun menjatuhkan ekonomi di Negara pengeluar kurma terbesar dunia ini. Hal inilah yang menyebabkan kepada kejatuhan ekonomi Negara terbabit dan hasilnya mengakibatkan kepada kadar penganguran yang tinggi. Menurut laporan daripada Al Jazeera, kadar pengangguran yang berlaku di Tunisia ini melebihi 30 peratus. Dengan kuasa membeli yang berkurangan, ditekan lagi dengan harga barangan yang melonjak naik mengakibatkan kekecewaan rakyat. Kekecewaan inilah mencetuskan semangat ingin berubah oleh golongan penunjuk perasaan.

Laporan daripada wikileaks juga ada melaporkan bahawa keluarga Ben Ali pernah menerbangkan Yogurt dari St Tropez menggunakan pesawat peribadi beliau kerana ingin meraikan sebuah parti. Isterinya, Leila Ben Ali sering ke luar Negara terutamanya Dubai untuk membeli belah dan dicop sebagai Imelda Ali di negara Arab oleh rakyat Tunisia. Pembaziran yang dilakukan oleh keluarga Ben Ali ini membuatkan rakyat jijik dengan apa yang dilakukan oleh keluarga Ben Ali. Tidak hairan lah kalau ada yang menyatakan revolusi Jasmine/Melati ini sebagai revolusi wikileaks atau media sosial.

Presiden Zine El Abidine Ben Ali pada mulanya melarikan diri ke Perancis untuk bersama dengan anaknya yang kini menetap di hotel mewah di Disneyland tetapi kapal terbang yang membawa Presiden Ben Ali itu tidak dibenarkan mendarat di Perancis oleh Presiden Sarkozy. Kesannya, Presiden Ben Ali ke Jeddah, Arab Saudi. Kerana kerajaan Arab Saudi memberikan suaka politik kepada Presiden Ben Ali.

Sejarah terkadangnya bermula daripada perkara yang remeh-temeh. Penulis yakin bahawa Mohamed Bouazizi tidak pernah merancang revolusi bagi menjatuhkan presidennya sendiri. Dia mungkin mengiginkan kehidupan yang lebih baik untuk dirinya dan keluarga. Namun, apa yang beliau lakukan telahpun mengubah wajah orang disekelilingnya, corak pemerintahan negaranya dan sekali gus melakar sejarah dalam peristiwa revolusi dunia. Perbuatan yang kecil telahpun mengakibatkan impak yang besar. Mohamed Bouazizi bermula sebagai Mahasiswa menganggur dan menjual sayur bagi menyara hidupnya akhirnya dapat menumbangkan pemerintahan yang kejam dan zalim.

Apa lagi yang Sabah perlukan?

IMPIAN SAYA
Berbicara tentang Sabah, bukan satu perkara yang ringan di pandangan mata. Sabah negeri yang kini mengalami satu transformasi yang begitu rancak. Bukan saja satu sudut politiknya , malah dari sudut keadaan sosial dan lebih-lebih lagi mengenai pemikiran rakyatnya yang kini sudah membuka mata.
Apa yang diimpikan oleh penduduk sabah ialah satu perubahan yang tidak mendasarkan kemajuan sebagai pengukur semata-mata. Malah, mereka mahukan pembangunan modal insan dimajukan bersama seiring dengan kemajuan yang diwar-warkan.
Bagi insan yang beragama ISLAM seperti saya, saya mengimpikan Sabah memiliki sebuah pusat Pengajian Ilmu ISLAM untuk melahirkan para Ulama' yang menghadam ISLAM dengan tepat dan menyebar luaskan ajaran ISLAM dan paling penting dapat menjalankan ISLAH kepada masyarakat ISLAM yang hanya pada nama sebahagian besarnya. Bukankah dengan ajaran ISLAM kita mampu membangunkan MODAL INSAN dengan lebih berkesan?
Tidak salah kita memajukan ilmu-ilmu fardhu Kifayah seperti yang melibatkan urusan permodenan, teknologi, sains dan juga apa-apa cabang ilmu yang dimiliki oleh barat. Namun, seperti yang dibuat oleh UIAM, sistem pembelajaran di sini telah ditapis propaganda kebaratannya dan diislamisasikan dengan menggabungkan nilai-nilai ISLAMIK ke dalamnya. Maka, graduan yang dilahirkan mempunyai kesedaran tentang usaha orientalis yang cuba menyerang umat ISLAM dengan perang saraf melalui ILMU.
Pakar-pakar Akademik Muslim dan para bakal pakar akademik (selain pengajian islam) seharusnya cuba untuk menjadikan pengajian mereka selari dengan kehendak ISLAM, sungguhpun mereka bukan Mahasiswa UIAM pada asalnya. Di sini, teringat pada satu sessi kelas talaqqi yang saya hadiri, Ust. Muhadir sebagai murabbinya mengatakan bahawa, antara ilmu agama dan ilmu duniawi. Ilmu agama lebih utama. 
Namun, keperluan untuk menyaingi musuh begitu menuntut kita untuk turut menguasai ILMU-ILMU selain ILMU agama. Maka, bagi mereka yang mengambil kos selain pengajian ISLAM mereka seharusnya turut bersaing dengan pelajar pengajian Islam melazimkan diri untuk menghadiri kuliah-kuliah agama seperti talaqqi paling tidak pun ke kuliah-kuliah maghrib yang terdapat didalam kampus masing-masing.
APA PILIHAN YANG ADA KEPADA MEREKA YANG TIDAK BERPELUANG?
Golongan ini perlu berusaha untuk mengikuti pengajian agama dan kuliah-kuliah yang diadakan di surau-surau ataupun di masjid-masjid berhampiran. Andai kata tiada tenaga pengajar, maka bolehlah meminta pada pimpinan mukim ataupun kampung supaya menjemput mana-mana ustaz atau ustazah yang mempunyai ILMU agama dan seterusnya boleh menyampaikan ILMU-ILMU tersebut tanpa mengenakan bayaran yang melampau. 
Kadang-kadang ada saja yang mengambil kesempatan. Semoga kita semua terlepas daripada golongan ini. Sekiranya ada ustaz-ustazah yang tidak mengenakan bayaran dan mereka datang atas kesedaran terhadap hak masyarakat sekeliling yang memerlukan ILMU agama yang mereka miliki, maka itu lebih baik.
Cadangan seterusnya, bolehlah berusaha dengan membeli bahan-bahan bacaan yang berkaitan sebagai permulaan dan kemudian bertanya dengan insan yang ahli dengan permasalahan tersebut jika kita takut tersalah faham isi kandungan buku itu.
Khususnya di Keningau, Pusat Latihan Dakwah sudah lama menapak di sana, namun, penglibatan pelajar-pelajarnya dengan masyarakat masih belum kelihatan. Atau mungkin masih perlu ditampung dari aspek tenaga pengajar yang berpengalaman. Sama-sama kita mengambil tahu.
Sepatutnya, pusat pengajian ini sudah boleh dijadikan sebagai tapak permulaan bagi merealisasikan kewujudan PUSAT ILMU ISLAM yang saya sebutkan di awal perbincangan. Dan harapnya pelajar keluaran PLDK bukan mereka yang mengabdikan diri pada keluarga semata-mata apabila habis pengajian kelak seperti kebanyakan yang berlaku sekarang. Mungkin ada yang berkhidmat di JHAEINS namun, berapa sangatlah yang turun ke dalam masyarakat?
Di Sook sendiri pun, baru 4 orang pegawai tetap yang saya tahu wujud di pejabat daerah sana. Maka, lihatlah kekosongan-kekosongan yang perlu diisi oleh INSAN-INSAN yang mengaku intelek ini. Belum lagi saya libatkan kekosongan yang patut diisi dalam sektor ekonomi dan pendidikan. Berapa ramai orang ISLAM di sana?
Kesimpulannya, entri ini adalah untuk meluahkan pandangan terhadap keadaan negeri yang tercinta. Semoga entri ini dapat mencetus satu azam yang menggunung dan kesedaran terhadap kekuatan ISLAM yang sangat-sangat perlukan tenaga dari semua aspek kehidupan, bukan hanya aspek pengislahan malah juga aspek kehidupan yang lainnya.

*Tulisan Ehsan :
Siti Azimah Rupilen  merupakan ahli marsis UIAM Gombak dan anak jati kelahiran keningau, Sabah. Berkenalan dengan coretan fikirannya di sini (link)


Radio Islam pertama Sabah : Tahniah daripada MARSIS!

Kota Kinabalu, 21 Sept : Kelahiran sebuah stesyen Radio Islam pertama di Sabah baru-baru ini membawa sinar baru dalam perkembangan dakwah Islam Negeri Sabah. Di namakan Radio Cahaya.FM -Demi Masa, radio online internet ini diasaskan oleh Saudara Nazri Abdullah yang juga kini merupakan penerbit Cahaya.FM.
Memetik kenyataan saudara Nazri di UTUSAN, beliau berkata meskipun baru berusia lima bulan, ia telah mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
Katanya, pendengar Cahaya FM adalah dari seluruh negara, tetapi pada masa sama, ia berjaya menarik minat pendengar dari Indonesia dan Singapura yang turut menggemari segmen-segmen dalam Cahaya FM.

"Memandangkan pengguna teknologi maklumat kini kian meningkat, badan-badan Islam tidak harus membiarkan peluang seumpama ini terlepas begitu sahaja.

"Umat Islam perlu menggunakan peluang keemasan tersebut sebaik-baiknya untuk sama-sama menyebar maklumat dan risalah Islam menerusi wadah baru ini,"

Radio online Islam ini bersiaran 24 jam sehari dan memutarkan pelbagai lagu nasyid terpilih, bacaan Al Quran dan ceramah-ceramah agama sebagai halwa telinga para pendengar. Radio ini boleh didengari secara online melalui laman web www.cahayafm.net. 

Justeru, MARSIS menyambut baik usaha yang cukup baik ini dan mengucapkan tahniah kepada pengerak Cahaya.FM. Semoga stesyen radio Islam pertama di Sabah ini dapat menyuburkan lagi usaha dakwah Islamiyah di negeri kita yang tercinta ini.

Saat-saat genting seorang hamba!

Pusingan ketiga bermula!

Hari ini adalah hari ke-21 Ramadhan. Kalau dianalogikan dalam permainan bola, pusingan ini adalah pusingan yang ketiga. ‘Extra time’ setelah 1st half dan 2nd half berakhir. Pusingan inilah dimana Rasulullah SAW langsung tidak berbuka puasa melainkan ketika waktu sahur.

Ketika ditanya oleh para sahabat;
“Wahai Rasulullah... Apakah ini satu perintah dari Allah?”
Jawab baginda, “Ini adalah khusus untuk daku sahaja”.

Gentingnya seorang kekasih Allah mengejar keredhaan dan keampunan Allah SWT walhal baginda sudahpun mendapat jaminan Syurga! Sehingga Saidatina Aisyah Radhiallahu’anha mengungkapkan;
 “Aku tidak pernah melihat kesungguhan baginda Nabi SAW beribadah melainkan ketika waktu ini (malam-malam terakhir Ramadhan).”

Bayangkanlah..... Rasulullah SAW seorang yang luar biasa ketekunan ibadahnya sehingga dicatitkan di dalam kitab-kitab sirah. Salah satunya, baginda bersolat sehingga kaki beliau bengkak dan pecah. Kita ingatkan itulah ibadah yang paling maksima dibuat oleh Rasulullah!

Rupa-rupanya ada lagi yang lebih ‘hyper-maksimum’ daripada itu. Iaitu ketika malam-malam akhir bulan Ramadhan! Itulah yang disaksikan oleh ummul Mukminun Saidatina Aisyah sendiri.
 
Kenapa?

Kerana pusingan ketiga ini adalah saat-saat genting bagi seorang hamba yang sangat mendambakan keampunan serta keredhaan Tuhannya...

HARI-HARI MENUJU KEMENANGAN!

Masa terus berdetik.

Setiap saat yang ada sangat berharga bagi seorang Mukmin.

Setiap amalan dilipat kali ganda pahalanya oleh Allah SWT sebanyak 70 kali.

Bayangkan seorang hamba yang menapak ke masjid di bulan Ramadhan dengan hati yang ikhlas lalu mengerjakan solat berjemaah.

Satu langkah dapat 1 pahala. Katakan jarak rumahnya ke masjid adalah 50 langkah, maka pahalanya adalah 50x70 kali di bulan Ramadhan. Jumlahnya ialah 3500 pahala!

Kemudian hamba ini solat berjemaah. 1 pahala solat x 27 solat berjemaah x 70 di bulan Ramadhan, jumlahnya 1890 pahala.

Itu tidak termasuk pahala bacaan di dalam solat iaitu satu huruf Al-Quran akan mendapat 10 ganjaran dan didarabkan dengan 70 kali di bulan Ramadhan. Pahala ‘iktikaf, mendengar bacaan imam, pahala saf solat, dan pelbagai lagi... Terlalu banyak jumlahnya!

Subhanallah... Luasnya kurnia Allah SWT bagi mereka yang menilai dengan iman.....

Pusingan ke-3 ini adalah hari-hari terakhir menuju kemenangan.

Bagi hati-hati yang mengerti, mereka akan teruja berlumba-lumba membuat kebajikan sehingga ke tahap yang paling maksima.

Padanlah ketika akhir Ramadhan inilah Tariq bin Ziyad menawan kota keagungan Eropah di Sepanyol!

-Gambar Hiasan-

Tanggal 27 Ramadhan.

Sejarah dunia mencatatkan peristiwa tatkala kuda perkasa tunggangan seorang ‘hanya biasa’ berketurunan hamba dari Parsi iaitu Tariq bin Ziyad mendarat di pesisir pantai Selat Gibraltar.

Tiba-tiba panglima yang ‘hanya biasa’ ini membuat satu arahan yang terlalu ‘luar biasa’! Beliau meminta kapal-kapal yang digunakan tadi dibakar kesemuanya. Tanpa ada sebuah pun yang ditinggalkan.

Jackson J. Spielvogel menulis dalam bukunya, Western Civilization:
“After sweeping across North Africa, the muslims crossed the Straits of Gibraltar and moved into Spain around 7100 people.”

Mendengar berita ini, Raja Roderick mengetuai tentera seramai 100 000 orang untuk berdepan dengan tentera Islam yang hanya berjumlah 12 000 orang termasuk tentera bantuan yang baru sampai.

Tapi sungguh!

Raja Roderick telah melakukan kesilapan besar kerana menentang tentera Islam di saat ‘hari-hari GENTING mereka menuju kemenangan’.

Raja Roderick tersilap membuat percaturan kerana jahil menilai. Dia tidak tahu bahawa hari-hari terakhir Ramadhan adalah saat-saat genting seorang hamba ‘bermati-matian’ menyahut seruan Tuhannya.

Ekoran dari itulah tentera Sepanyol tewas dan Raja Roderick terbunuh dalam pertempuran yang berlangsung di dalam Wilayah Cadiz.

Mari kita selami apa yang diucapkan oleh panglima Tariq bin Ziyad tatkala beliau berpidato selepas membakar kapal-kapalnya:
 
“Wahai sekalian Tenteraku, kemana kalian mahu melarikan diri?? Laut di belakang kamu dan musuh ada di hadapan kamu. Demi Allah yang Maha Kuasa! Tiada lagi yang tinggal melainkan Keberanian dan juga Kesabaran!”

Hari-hari akhir Ramadhan... Ketahuilah bahawa ia adalah detik dimana seorang hamba akan mencapai ‘klimaks’ dalam ibadahnya! Insya Allah, kita buktikan!! Tapi hanya pada Allah dan bukan pada manusia. 

dipetik dari tulisan : Akh.Zulhilmey (UTM SKUDAI) pemilik blog kembarasanghamba.

Thursday, January 09, 2014

Perobohan rumah rakyat di Kg Bakau

Oleh: MUHAMMAD NADIR AL-NURI KAMARUZAMAN

PENULIS bersama-sama beberapa orang rakan pernah turun menyantuni masyarakat Kg. Suluk di Likas kira-kira dua tahun dahulu apabila rumah mereka dirobohkan. Ketika itu penulis menjadi Exco Kerohanian dan Sahsiah Majlis Perwakilan Pelajar UMS, sekaligus Pengerusi Ikatan Sahabat EKSAH UMS.

Asalnya tinjauan yang dilakukan bertujuan untuk bertemu orang kampung dan bertanyakan khabar mereka, memandangkan 'kemusnahan' secara tiba-tiba terhadap tempat tinggal mereka dapat dilihat dengan jelas bilamana penulis melepasi bulatan Yayasan Sabah ke Kota Kinabalu.

Tetapi apabila melihat keadaan penduduk yang terbiar dan tiada pilihan selain bertahan di balik runtuhan rumah masing-masing untuk berlindung daripada panas dan hujan, penulis tidak sampai hati membiarkan mereka bersendirian.

Justeru meskipun tanpa restu pihak universiti yang bimbangkan keselamatan kami, bantuan dan sumbangan dikumpulkan melalui semua saluran yang ada, dan syukur alhamdulillah, penduduk di sana sekurang-kurangnya mendapat bekalan makanan dan pakaian untuk beberapa hari.

Sejarah Kg. Suluk berulang lagi. Sejak 12 April 2010, perobohan rumah penduduk bermula pula di Kg. Bakau. Penulis difahamkan tujuannya ialah untuk menghapuskan perumahan setinggan PTI dan imej kampung tersebut yang kotor, tetapi pelik bunyinya kerana majoriti penduduk merupakan pengundi berdaftar dan merupakan pengundi tegar BN. Lebih pelik lagi, kampung tersebut pernah memenangi pertandingan Kampung Terbersih anjuran DBKK sendiri sebanyak beberapa kali.

Maka barangkali benar apa yang dikatakan seorang pemimpin masyarakat tempatan, bahawa keadaan kampung sekarang berpunca daripada pihak kerajaan yang dengan tindakan mereka mengancam sejak dahulu untuk merobohkan kawasan tersebut, menyebabkan penduduk mahu tidak mahu menjaga keselesaan dan kecantikan tempat mereka sendiri.

Apapun isunya, penulis tegas berpendapat tidak ada manusia yang layak dibiarkan hidup bergelandangan. Tidak ada kanak-kanak yang sepatutnya terpaksa berteduh dibawah runtuhan rumah sendiri. Tidak ada perut yang boleh dibiarkan berlapar semata-mata kerana dapur mereka telah diranapkan.

Penduduk Kg. Bakau tidak diberikan pampasan, dan rumah sewa yang ditawarkan kepada mereka di Telipok Ria, walaupun sudah dibayar sewa dan kos membaiki kerosakan, rata-ratanya tidak mempunyai bekalan air dan elektrik. Malah, tandas di rumah flat kos murah itu bocor di tingkat sebelah atas, menyebabkan apabila jiran membuang air besar, penghuni di bawah terpaksa menadah hasilnya!

Beberapa penduduk yang sempat ditemubual mengakui kecewa dengan sikap kerajaan yang menghalalkan cara dan membelakangkan perikemanusiaan untuk mencapai matlamat, termasuklah Adun Karambunai, Datuk Jainab Ahmad yang hanya menabur janji manis tetapi langsung tidak kelihatan sepanjang operasi perobohan.

Mereka mengakui diri mereka hanyalah semut-semut yang tidak mampu bangkit melawan 'kegajahan' kerajaan. Malangnya buat pihak yang berkuasa, bukan semua rakyat berasa kecut dan rendah diri untuk berhadapan dengan pihak kerajaan.

PSS bersama rakan-rakan NGO akan terus tetap membela nasib marhaen yang terhimpit dan menyeru pihak lain mengambil tindakan sewajarnya bagi menunjukkan keprihatinan terhadap masyarakat yang tertindas. PSS mengalu-alukan sebarang bantuan dalam bentuk kewangan dan lain-lain bagi meringankan beban penduduk Kg. Bakau.

(Nota: Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah)

sumber : sabahkini.net

Luahan Anak JATI sabah

Saya merupakan anak jati negeri Sabah dan masih menuntut di Universiti Malaya. Saya berpeluang untuk balik ke Sabah dalam dua kali setahun. Setiap kali balik ke negeri tercinta ini, semakin banyak usaha pembangunan dan banyak perubahan dapat dilihat. Pusat membeli belah,bangunan-bangunan tersergam tinggi dan lot-lot kedai yang semakin rancak dibangunkan melambangkan betapa hebatnya usaha pembangunan di negeri ini. Namun, di sebalik kerancakan pembangunan ini, masih ada perkara yang mungkin kita terlepas pandang. Perkara ini mungkin disedari oleh sesetengah orang,namun tiada suara yang menyuarakan masalah ini secara jelas. Masalah ini berkenaan dengan kemudahan surau atau tempat solat yang terhad.

Pekan Papar
Seringkali apabila pergi ke pekan Papar ataupun Bandar Kota Kinabalu, antara kesukaran yang di hadapi ialah mencari tempat menunaikan sembahyang. Jika di pekan Papar, perpustakaan awam yang duduknya ditengah-tengah pekan Papar juga tidak mempunyai kemudahan surau untuk para pengunjung. Manakala, kedudukan masjid besar Papar terletak agak jauh dari tempat tumpuan orang. Di kota kinabalu, kedudukan masjid negeri dan masjid bandaraya juga agak jauh dan tidak memungkinkan orang ramai untuk berjalan kaki dari pusat Bandar pergi ke sana untuk menunaikan solat. Selama ini, tumpuan orang menunaikan sembahyang hanya di surau kecil di pusat membeli belah Centre Point. Selain, Center Point kebanyakan plaza atau pusat membeli belah di Kota Kinabalu tidak menyediakan kemudahan surau untuk para pengunjung. 

Masalah ini telah berlaku sekian lama, mungkin pernah disuarakan tetapi tidak ada jalan penyelesaian yang serius di ambil untuk memastikan sekurang-kurangnya di tempat tumpuan awam seperti perpustakaan, pusat membeli belah ada kemudahan surau di sediakan. Masyarakat Sabah masih mempunyai populasi rakyat beragama Islam yang ramai dan seharusnya keperluan umat Islam di Sabah ini di ambil peduli oleh pihak berwajib. 

masjid Al Bara'ah
Saya menyarankan agar kerajaan Sabah mencontohi kerajaan Kelantan dalam menyelesaikan permasalahan ini. Di Kelantan, sebuah masjid letaknya di tengah-tengah Bandar Kota Bharu. Setiap kali waktu solat, azan akan berkumandang dan kedengaran diseluruh bandar. Orang ramai, peniaga berpusu-pusu menuju ke masjid untuk menunaikan solat. Namun, jika membina sebuah masjid seperti ini dirasakan susah, cukuplah memastikan kemudahan surau ada di tempat tumpuan awam.





Luahan,
(ANAK JATI SABAH)

Benarkah kemiskinan di FELDA punca penderaan?

http://310627192.r.worldcdn.net/media/k2/items/cache/799136d44f842aed9cce5a4856a54bec_XL.jpg


TRAGEDI sedih penderaan seorang kanak-kanak, Fansyarina Abdullah, 7, di Tanah Rancangan Felda Sahabat Lahad Datu telah menyingkap hijab yang menutupi kemegahan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dalam bidang konglomerat perladangan.

Ketua Cawangan UMNO Tanjung Labian, Bahagian Silam, Kunsul Nahul, 53, berpendapat Felda kini gagal mengeluarkan para peneroka di Tanah Rancangan Felda daripada kepompong kemiskinan, sebaliknya memenjara mereka di ‘Sangkar Emas’ ciptaan Felda yang tidak kelihatan di mata kasar.  

“Walaupun di atas kertas, para peneroka Felda menerima lebih RM1,500 sebulan daripada hasil 5.66 hektar kebun kelapa sawit mereka, namun hakikatnya mereka hanya membawa pulang RM50 sebulan; yang memenjarakan mereka terus di kancah kemiskinan tegar,” ujar Kunsul yang agak kesal dengan sikap pengurusan Felda di Sabah yang cuba menyembunyikan kebenaran daripada pengetahuan umum.

Oleh kerana para peneroka yang ramai anak tidak lagi dapat bergantung harap kepada tanah rancangan mereka, maka bagaikan burung, ramai di antara mereka terpaksa meninggalkan anak isteri untuk bekerja di luar dan ada di antaranya terpaksa berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari nafkah.

 “Akibatnya, ramai isteri peneroka yang stress dan mengalami kemurungan apabila suami mereka mempunyai isteri lain di tempat kerja baru dan mengabaikan mereka. Kemiskinan menyebabkan mereka hilang kawalan diri dan bertindak ganas melepaskan geram kepada keluarga tersayang. Maka terjadilah penderaan dan keruntuhan rumah tangga,” ujar Kunsul yang menyifatkan kes penderaan di Felda Sahabat Anjung Teduh merupakan kes terpencil, namun ianya menjadi barah dalam daging masyarakat Felda yang dihimpit hutang yang bertimbun dan dinafikan hak mereka untuk bersuara.

Dalam kes penderaan yang kini masih dalam siasatan polis, kata Kunsul, seorang nenek kandung telah mendera cucunya sehingga mengalami trauma kerana tidak mempunyai pendapatan untuk menyara persekolahan anak dan cucunya; apatah lagi suaminya bernikah lain dan mengabaikannya sejak lima tahun lalu.

“Felda bukan sahaja gagal menangani masalah kegelinciran moral dan  membebaskan peneroka daripada hutang yang semakin bertimbun, terutama memaksa peneroka mengambil pinjaman membesarkan rumah; malah cuba menjadikan Felda sebagai Wilayah Persekutuan yang baru dengan menggali parit di sekeliling ladang yang bersempadan dengan tanah adat dan mengimport ramai pekerja daripada Semenanjung,” ujar Kunsul yang meminta pihak pengurusan Felda lebih prihatin terhadap para peneroka yang selama ini mengalirkan keringat, darah dan airmata untuk membayar gaji pegawai yang sering lupa daratan.

“Secara luaran kita lihat para peneroka kaya kerana rumah mereka cantik dan berkereta besar. Ada yang macam istana, tetapi sebenarnya mereka berusaha mencari pendapatan di luar dan bukan daripada hasil kebun mereka. Ramai dibelit hutang antara RM20,000 hingga RM40,000 untuk membaikpulih atau membina rumah mereka,” ujar Kunsul yang menggesa agar Ahli Lembaga Felda, Datuk Suhaili Said bangun daripada tidur untuk berpijak di bumi nyata.

Tegas Kunsul, sebagai Adun Tungku, Suhaili tidak mempunyai keberanian untuk berkata benar di Dewan Undangan Negeri Sabah dan gagal menasihati Felda untuk membela 872 peneroka yang dibebani dengan hutang dan berada di lingkungan putaran ganas kemiskinan.

Dalam pada itu, Sabahkini.net telah menjalankan kajian rambang dan mendapati dakwaan Kunsul adalah 100 peratus benar dan berdasarkan ‘slip gaji’ atau penyata pendapatan peneroka; memang benar kesemua 872 peneroka Felda di Lahad Datu adalah miskin tegar.

Berikut adalah contoh ringkasan akaun pendapatan Peneroka Sahabat 1, Anjung Teduh yang berjaya diselidik krew Sabahkini.net;

Nama Peneroka: AWANG OMAR BIN JAWATAN
Jumlah Pendapatan: RM 1,579.84
Jumlah Potongan: RM1,529.84
Baki Tunai: RM50.00

Nama Peneroka: ABDUL SALAM BIN AMBO RAPPE
Jumlah Pendapatan: RM 1,579.84
Jumlah Potongan: RM1,329.18
Baki Tunai: RM250.66

Nama Peneroka: MOHD ALI @ JAPAR BIN MIRAL
Jumlah Pendapatan: RM 1,579.84
Jumlah Potongan: RM1,529.18
Baki Tunai: RM50.66

(Nota: Potongan termasuk CBC, Bayaran Kembali, Caruman Hari Raya, Potongan JKKR, Kedai, Pinjaman Besar Rumah, Pendahuluan Tunai, Tanam Semula dan sebagainya.)

berita penuh sila rujuk : Sabahkini.net

PILIHAN RAYA DI SEKOLAH

 https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgrXrCmVLwCffoLjyIn3NULnvgFTRkJmYxtgdXxWWZMHdhKLJr9M0s5ayvGULq8fAKaUwGxI49SqQD6l0YqXOvo_K2HFBFunUOozxU4ByQppdc7hDb3bqZ4ZnjTYZLBG5QkknAdA9ERXeJZ/s1600/IMGA0024.JPG
Di dalam kehangatan mahasiswa di beberapa Institusi Pengajian Tinggi melaungkan suara menegakkan nilai demokrasi kampus, sebuah sekolah di Kuala Lumpur pula meningkatkan usaha menerapkan nilai-nilai demokrasi Malaysia kepada para pelajarnya. Pendekatan yang menarik dan kritis yang telah dilakukan oleh SK Tun Dr Ismail 1, Kuala Lumpur itu adalah dengan mengadakan pilihan raya bagi memilih Ketua Pelajar bagi tahun 2010. Walaupun pilihan raya sebegini pertama kali diadakan di Malaysia, namun ia dapat dijalankan dengan jayanya.


PEMIMPIN CILIK

Seperti sedia maklum, fokus utama sesebuah pilihan raya yang dijalankan tidak lain adalah untuk memilih pemimpin yang dipercayai mampu membawa kemajuan, kebaikan dan kesejahteraan di dalam sesebuah kelompok masyarakat. Sistem demokrasi di Malaysia sebenarnya mampu melahirkan pemimpin yang berintegriti seperti yang dimahukan dan diperlukan rakyat jika landasan pemilihan adalah benar dan telus. Atas dasar inilah, saya amat yakin pihak SK Tun Dr Ismail 1, mengambil jalan memberi pendedahan awal kepada para pelajarnya tentang maksud dan tujuan sesebuah pilihanraya diadakan termasuklah memahami antara 3 komponen penting di dalam sesebuah pilihanraya iaitu calon yang bertanding, para pengundi dan sistem pilihanraya itu sendiri.
Pelajar yang menjadi calon pilihanraya tersebut pastinya memperoleh pengalaman yang luar biasa yang pastinya tidak dirasai oleh semua orang. Peluang yang ada jika digarap dengan baik pastinya mampu membina nilai-nilai dan personality seorang pemimpin di dalam diri mereka. Bayangkan, calon-calon Tahun 5 dan 6 yang bertanding, diberi kesempatan berkempen dari kelas ke kelas, memiliki penyokong ( crowd ) tersendiri juga menampilkan kelebihan mereka masing-masing di hadapan pelajar lain. Bukankah ia merupakan satu bentuk persaingan sihat yang membawa kepada anjakan paradigma mereka selaku pelajar senior di sekolah?

TEORI ERIK ERIKSON

Menurut Erik Erikson dalam bukunya “Childhood and Society” tahun 1963, perkembangan psikososial terbahagi kepada 8 bahagian. Untuk kanak-kanak di umur sekolah rendah ( school age ), mereka akan mengalami fenomena industri lawan rasa rendah diri ( industry vs inferiority ). Pada peringkat ini, mereka perlu diberi peluang menguasai beberapa kemahiran dan jika gagal, ianya akan memberi impak rasa rendah diri dan tidak memiliki keupayaan bukan sahaja dalam meningkatkan potensi akademik, bahkan di dalam kehidupan sosial mereka. Justeru, saya amat percaya, dengan bimbingan dan pantauan yang konsisten daripada pihak sekolah, pilihan raya sebegini pastinya mampu melahirkan pelajar yang berjiwa kepimpinan, menghormati keadilan dan kemanusiaan juga pelajar yang sedar akan tanggungjawab mereka sebagai ‘rakyat’ di sekolah.


MENCIPTA PERUBAHAN

Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, saya menyarankan kepada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia agar menyambut baik usaha sebegini. Jika pilihanraya sebegini dijadikan kokurikulum wajib di sekolah-sekolah, saya yakin ia mampu menjadi pendukung kuat kepada subjek baru berunsurkan semangat kenegaraan yang akan diperkenalkan bersama Kurikulum Standard Sekolah Rendah ( KSSR ) pada tahun hadapan. Sekalung tahniah buat guru besar SK Tun Dr Ismail 1 Pn Hjh Nik Nab Bt Sulaiman, para guru, kakitangan sekolah, pegawai SPR, Adik Khairul Azil ( menang 365 undi ), calon-calon yang bertanding, dan seluruh pelajar sekolah atas keberanian mencetuskan perubahan baru dalam dunia pendidikan. Apa yang diharapkan, semoga usaha sebegini tidak terhenti setakat di sini, bahkan akan menjadi titik mula kepada perubahan yang lebih baik dalam negara.