Friday, January 10, 2014

Apa lagi yang Sabah perlukan?

IMPIAN SAYA
Berbicara tentang Sabah, bukan satu perkara yang ringan di pandangan mata. Sabah negeri yang kini mengalami satu transformasi yang begitu rancak. Bukan saja satu sudut politiknya , malah dari sudut keadaan sosial dan lebih-lebih lagi mengenai pemikiran rakyatnya yang kini sudah membuka mata.
Apa yang diimpikan oleh penduduk sabah ialah satu perubahan yang tidak mendasarkan kemajuan sebagai pengukur semata-mata. Malah, mereka mahukan pembangunan modal insan dimajukan bersama seiring dengan kemajuan yang diwar-warkan.
Bagi insan yang beragama ISLAM seperti saya, saya mengimpikan Sabah memiliki sebuah pusat Pengajian Ilmu ISLAM untuk melahirkan para Ulama' yang menghadam ISLAM dengan tepat dan menyebar luaskan ajaran ISLAM dan paling penting dapat menjalankan ISLAH kepada masyarakat ISLAM yang hanya pada nama sebahagian besarnya. Bukankah dengan ajaran ISLAM kita mampu membangunkan MODAL INSAN dengan lebih berkesan?
Tidak salah kita memajukan ilmu-ilmu fardhu Kifayah seperti yang melibatkan urusan permodenan, teknologi, sains dan juga apa-apa cabang ilmu yang dimiliki oleh barat. Namun, seperti yang dibuat oleh UIAM, sistem pembelajaran di sini telah ditapis propaganda kebaratannya dan diislamisasikan dengan menggabungkan nilai-nilai ISLAMIK ke dalamnya. Maka, graduan yang dilahirkan mempunyai kesedaran tentang usaha orientalis yang cuba menyerang umat ISLAM dengan perang saraf melalui ILMU.
Pakar-pakar Akademik Muslim dan para bakal pakar akademik (selain pengajian islam) seharusnya cuba untuk menjadikan pengajian mereka selari dengan kehendak ISLAM, sungguhpun mereka bukan Mahasiswa UIAM pada asalnya. Di sini, teringat pada satu sessi kelas talaqqi yang saya hadiri, Ust. Muhadir sebagai murabbinya mengatakan bahawa, antara ilmu agama dan ilmu duniawi. Ilmu agama lebih utama. 
Namun, keperluan untuk menyaingi musuh begitu menuntut kita untuk turut menguasai ILMU-ILMU selain ILMU agama. Maka, bagi mereka yang mengambil kos selain pengajian ISLAM mereka seharusnya turut bersaing dengan pelajar pengajian Islam melazimkan diri untuk menghadiri kuliah-kuliah agama seperti talaqqi paling tidak pun ke kuliah-kuliah maghrib yang terdapat didalam kampus masing-masing.
APA PILIHAN YANG ADA KEPADA MEREKA YANG TIDAK BERPELUANG?
Golongan ini perlu berusaha untuk mengikuti pengajian agama dan kuliah-kuliah yang diadakan di surau-surau ataupun di masjid-masjid berhampiran. Andai kata tiada tenaga pengajar, maka bolehlah meminta pada pimpinan mukim ataupun kampung supaya menjemput mana-mana ustaz atau ustazah yang mempunyai ILMU agama dan seterusnya boleh menyampaikan ILMU-ILMU tersebut tanpa mengenakan bayaran yang melampau. 
Kadang-kadang ada saja yang mengambil kesempatan. Semoga kita semua terlepas daripada golongan ini. Sekiranya ada ustaz-ustazah yang tidak mengenakan bayaran dan mereka datang atas kesedaran terhadap hak masyarakat sekeliling yang memerlukan ILMU agama yang mereka miliki, maka itu lebih baik.
Cadangan seterusnya, bolehlah berusaha dengan membeli bahan-bahan bacaan yang berkaitan sebagai permulaan dan kemudian bertanya dengan insan yang ahli dengan permasalahan tersebut jika kita takut tersalah faham isi kandungan buku itu.
Khususnya di Keningau, Pusat Latihan Dakwah sudah lama menapak di sana, namun, penglibatan pelajar-pelajarnya dengan masyarakat masih belum kelihatan. Atau mungkin masih perlu ditampung dari aspek tenaga pengajar yang berpengalaman. Sama-sama kita mengambil tahu.
Sepatutnya, pusat pengajian ini sudah boleh dijadikan sebagai tapak permulaan bagi merealisasikan kewujudan PUSAT ILMU ISLAM yang saya sebutkan di awal perbincangan. Dan harapnya pelajar keluaran PLDK bukan mereka yang mengabdikan diri pada keluarga semata-mata apabila habis pengajian kelak seperti kebanyakan yang berlaku sekarang. Mungkin ada yang berkhidmat di JHAEINS namun, berapa sangatlah yang turun ke dalam masyarakat?
Di Sook sendiri pun, baru 4 orang pegawai tetap yang saya tahu wujud di pejabat daerah sana. Maka, lihatlah kekosongan-kekosongan yang perlu diisi oleh INSAN-INSAN yang mengaku intelek ini. Belum lagi saya libatkan kekosongan yang patut diisi dalam sektor ekonomi dan pendidikan. Berapa ramai orang ISLAM di sana?
Kesimpulannya, entri ini adalah untuk meluahkan pandangan terhadap keadaan negeri yang tercinta. Semoga entri ini dapat mencetus satu azam yang menggunung dan kesedaran terhadap kekuatan ISLAM yang sangat-sangat perlukan tenaga dari semua aspek kehidupan, bukan hanya aspek pengislahan malah juga aspek kehidupan yang lainnya.

*Tulisan Ehsan :
Siti Azimah Rupilen  merupakan ahli marsis UIAM Gombak dan anak jati kelahiran keningau, Sabah. Berkenalan dengan coretan fikirannya di sini (link)


0 comments:

Post a Comment