credit gambar: @Muslimultimedia |
Bismillahirrahmanirrahim.
Alhamdulillah, segala puji Tuhan semesta alam selawat dan salam atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w buat seluruh ahli keluarga, sahabat-sahabat baginda tabi’ dan tabi’in serta orang-orang yang sentiasa meninggikan syiar-Nya. Bersyukur ke hadrat ilahi atas segala limpah rahmat dan kurniaan-Nya, nikmat Islam dan Iman masih kita kecapai. Mudah-mudahan segala amal kita dipandang dan dinilai oleh Allah s.w.t.
“Daripada Abu Amr ada yang mengatakan Abu Amrah Sufyan bin Abdillah Al-Thaqafi r.a berkata, ‘Wahai Rasulullah, katakanlah kepadaku suatu perkataan tentang Islam yang tidak mungkin aku tanyakan kepada siapa pun selain kepadamu.’ Rasulullah s.a.w bersabda, ‘katakan aku beriman kepada Allah’, lalu istiqamahlah.” ( HR. Muslim)
Pertama sekali, saya memohon maaf atas segala salah laku, sama ada sedar atau tidak buat semua sahabat-sahabat sekiranya sepanjang perkenalan ada tindak-tanduk yang kurang disenangi sehingga boleh menimbulkan masalah hati dan sebagainya. Di samping itu, mengajak diri dan semua sahabat-sahabat supaya kita sama-sama sentiasa bermuhasabah dan berusaha bersungguh-sungguh dalam amal perbuatan demi meraih redha-Nya.
Memetik hadis ke-21, di dalam Hadis Arbain An-Nawawiyah merujuk pada hadis di atas, Iman yang sebenarnya adalah dengan sesekali tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu pun disamping meyakini dengan sungguh-sungguh bahawa Allah adalah Tuhan yang Esa, Tuhan semesta alam dan tidak ada Tuhan selain-Nya. Setelah jelas, peganglah dengan sungguh-sungguh dan mohonlah kepada-Nya moga diberikan kekuatan untuk beristiqamah untuk berada dalam jalan-Nya.
Sahabat-sahabat yang dikasihi,
Kadang-kadang kita cekap dengan sesuatu perkara, kita dilebihkan sesuatu perkara yang menjadi aset kepada kita. Tetapi ruginya, apabila kelebihan itu tidak dimanfaatnya sebaiknya. Elemen syukur gagal dihayati dan diterapkan dalam diri jauh sekali diselaraskan dengan kelebihan-kelebihan yang dikurniakan. Nilai syukur yang sering diucap dalam mana-mana majlis, tetapi aplikasinya amat-amat kurang. Nikmat-Nya terlalu besar buat seluruh makhluk-makhluk-Nya dan semuanya kerana kasih-Nya pada kita.
Bicara MAD’U.
Pelbagainya sikap manusia, pendekatannya juga punya “skill” yang berbeza. Sebab itu, proses “memberitahu” ada langkah-langkahnya, perlu disesuaikan dengan keadaan dan keperluan mad’u. “Skill” inilah yang kita perlu hadam dan pelajari secara berterusan. Semasa proses “memberitahu” itu, mungkin kita rasa ia betul tetapi perlu ingat, keadaan dan keperluan mad’u untuk menerima macam mana perlu diambilkira. Berbaliklah pada “skill” tadi dan biarlah ia berpada-pada dengan keadaan.
Sedikit teguran buat diri dan sahabat-sahabat,
Tidak dinafikan, dewasa ini terlalu banyak “benda” yang boleh menggoncangkan hati. Hati kalau tidak digilap, tidak diisi dengan makanan rohani, nafsu jahat dan syaitan mudah sahaja mendorong untuk melakukan perkara-perkara bathil. Majlis Ilmu, alim ulama, golongan soleh/ah, program-program tarbiyyah, perlu dihampiri moga-moga ada nilai yang boleh diambil sebagai peringatan dan membentuk peribadi muslim sebenarnya.
Kita mengajak kepada perkara tarbiyyah, tetapi kadang-kala kita cuai untuk kukuhkan“dalaman” dan kelompangan zahirnya jelas kelihatan. Hubungan dengan-Nya macam mana? Solat kita macam mana (subuh, solat jemaah…)? Kebersihan macam mana (tempat tinggal…)? Akhlak kita macam mana(semasa bercakap…)?
SEMUA INI KITA TAHU, TETAPI SEJAUHMANA??
Peringatan demi peringatan kita terima seharian. Cuba periksa diri kita, sejauhmana ia memberi kesan pada hati. Sebut tentang hati ini, teringat akan satu hadis dan saya yakin, sahabat-sahabat pun kerap mendengarnya.
Sabda baginda yang bermaksud:
“…Ketahuilah bahawa di dalam jasad itu terdapat segumpal daging, bila ia baik, maka baiklah seluruh jasad itu, dan bila ia rosak, maka rosaklah pula seluruh jasad, ketahuilah bahawa segumpal daging itu adalah hati.” (HR. Bukhari dan Muslim)
Jelas di sini, bahawa hati adalah “aset” penting yang perlu dijaga dan dirawat. “makanan” sehariannya perlu cukup sentiasa di”cek”. Kita bertemu dengan-Nya nanti pun, amat berkait rapat mengenai “kepulihan” hati.
Firman-Nya: “sungguh beruntung orang yang menyucikannya (jiwa itu)” Surah Asy-Syams, ayat 9.
Sahabat-sahabat yang dirahmati-Nya,
Beberapa hari lagi kita akan “bertemu” ramadhan. ( Ya Allah kurniakan kesempatan itu…). Di masjid-masjid, karya tulisan, artikel-artikel, media cetak, banyak menyentuh perihal kemuliaan ramadhan. Kita semua maklum, akan kelebihan ramadhan ini yang mana segala amal kebajikan dilipatgandakan. Selain itu, persiapan kita menghadapi ramadhan sekarang macam mana? Mari renungkan dan bersiaplah ! Bimbang ini mungkin adalah ramadhan yang terakhir buat kita (kalau diizinkan-Nya untuk sampai…).
Akhir kalam, Mari kita sama-sama banyak bermuhasabah, mungkin baik pada kita tetapi tidak pada nilaian Allah dan esok lupa belum pasti kita masih bernafas. Betapa Maha penyayangnya Allah, masih menerima taubat hamba-hambanya meskipun dosa-dosa itu sebanyak isi bumi dan langit selagi mana kita tidak sesekali menyekutukan-Nya. Peringatan, beberapa perkara yang kita tekuni dan usahakan antaranya, hadami “skill” mendekati mad’u, tangani kesalahan/kesilapan, periksa perihal hati, persiapan menghadapi ramadhan. Moga-moga ada manfaatnya buat diri dan pembaca budiman=).
Sekian.
Waalllahua’lam.
Presiden
MARSIS PUSAT 2011/2013
(MOHAMAD MATASSIAN BIN OGUS)
0 comments:
Post a Comment