photo by dskhairunnisa |
Kaum muda membuat sejarah dengan hati mereka.
Cendikiawan membuat sejarah dengan akal fikiran mereka.
Orang arif membuat sejarah dengan jiwa mereka.
Apabila hati, akal dan jiwa saling menunjang untuk membuat sejarah,
pasti sejarah tak akan pudar sinarnya dan tak akan padam obornya.
-Dr. Mustafa Assiba'i
Lihatlah
sekeliling dunia, pelbagai peristiwa dalam helaian sejarah telah
terbuku.
Menanti insan-insan pemikir membedah dada zaman, mengurai misteri,
mencari jalan penyelesaian dalam masalah yang acap kali terjadi. Mereka
ini insan yang tak pernah berhenti untuk berfikir, membuat analogi,
kesimpulan, analisis dan kajian demi kajian. Saya ambil contoh, ahli
pemikir sejarah pernah membahaskan, wanita sebagai punca utama kejatuhan
sesebuah negara, hatta sesebuah tamadun. Ahli arkeologi pula, sanggup
menggadai nyawa, tetap cuba menyingkap rahsia sejarah sebuah artifak
usang, yang bagi mereka tidak ternilai harganya.
Sejarah,
satu subjek yang bukan praktikal, namun perlu difahami, diselami, hingga
“meletakkan” diri didalam satu peristiwa untuk diteliti. Realitinya, ramai yang
mengkaji tentang sejarah dan hakikatnya juga, ramai yang “seronok” memanipulasi
sejarah. Setitik dakwat mampu membuat berjuta manusia berubah.
Fikirkan tentang dirimu. Jika satu bangsa telah mula berfikir, tidak ada satu kekuatan pun yang boleh menghentikannya -Voltaire
Bukan
mudah untuk memanipulasi sebuah sejarah yang telah “hidup” berabad
lamanya dalam jejak tinggalan zaman. Ini bermakna, mereka juga ahli
pemikir, yang kreatif memesongkan fakta. Mereka adalah dari golongan
manusia yang kecewa dengan ketentuan Pencipta, lantas memberontak dan
hidup dalam bayangan Perosak Laknatullah.
Tidakkah kita dapat menyimpulkan bahawa mereka yang mensyukuri erti hidup untuk
memberi, berusaha untuk mahu kehadapan, menjejak zaman lampau untuk
memperbaiki tamadun yang ada menjadi suatu tamadun yang lebih hebat di masa depan. Mereka yang kecewa
dengan Pencipta pula, tetap berusaha untuk merosakkan jejak silam dengan membina sebuah tamadun yang tidak menjanjikan taman-taman Syurga. Selebihnya adalah golongan yang
pemalas ; duduk termagu, membingung, berkhayal dan hanya tahu berteka-teki hingga membiarkan masalah menjadi barah.
Bagaimana pula dengan kita?
Kita
hanya membaca hasil kajian para idealis, sasterawan, hipokrit, pembela,
namun tidak turut serta mencetus apa-apa harapan. Kita mampu membeli
koleksi dan karya tulisan mereka,
tapi tidak cuba untuk membina empayar sendiri. Mereka mengkaji, kita
menjeling sepi. Sesekali “angguk-angguk, geleng-geleng”. Kita mungkin
pernah
mencetus rangkaian idea yang hebat, tapi sayang, bila sampai ke tahap
pelaksanaan, kita kurang mampu. Bak kata bijak pandai terdahulu , menulis sepuluh jilid buku mengenai falsafah lebih mudah daripada melaksanakan sepotong pesanan.
Apa yang perlu di lakukan? Jelaskan semula matlamat, bina semula kesatuan. Agenda perlu perangkaan rapi. “Kalau agenda anda tidak ditulis, anda tidak mempunyai agenda sama sekali” – Gerald A. Michealson. Ini bermakna, anda mungkin hanya mempunyai impian, visi atau mungkin hanya mimpi buruk.
Perlu
diingat, jika anda mengaku seorang agen perubahan, anda perlu tahu
bahawa agenda dan pelaksanaan tidak boleh di asingkan. Seseorang hanya
boleh di iktiraf menjadi agen perubahan bila selesai di peringkat
pelaksanaan. Tidak kira berjaya atau hampir berjaya, di sana telah
tercetusnya usaha.
“Anda
tidak tahu bagaimana musuh anda? Bertempurlah dan cari. Serangan yang
penuh keyakinan hanya dapat ditentukan setelah beberapa lama bertempur.
Serangan percubaan (pada kali pertama) bukanlah pertempuran yang
berasingan, tetapi ia merupakan serangan awal. Lancarkanlah formasi
terhadap keseluruh barisan hadapan musuh, maka anda akan kenali
bentuknya (masalah & musuh)” - Strategis Eropah – Kapten
Johnstone, 1916.
Moga kita dapat perbaiki kelemahan yang ada hingga mampu mencetus gagasan idea yang selaras dalam peringkat pelaksanaan.
Penulis: Ds Khairunnisa,
Exco Perhubungan & Penerangan MARSIS 11/12
{coretan lama, 11 Jun 2009 }
0 comments:
Post a Comment