Ahli-ahli PSS telah lama berkecimpung dan menerima latihan dalam bidang
perbandingan agama, atau comparative religion, sehinggakan telah wujud
satu kumpulan yang mampu membimbing masyarakat tentang asas persamaan
dan perbezaan antara agama, khususnya agama Islam dan Kristian, dengan
tujuan tunggal untuk mencari kebenaran dan mengeratkan persefahaman.
Usaha ini telah dicetuskan oleh bekas ustaz di SMK Tebobon, Ustaz
Abdullah Din dan kini giat diteruskan oleh sahabat-sahabat beliau, Cikgu
Jamil (SMK Kolombong), Ustaz Khidir (SMK La Salle), Ustaz Amir (SMK St.
Peter) dan Encik Nordin Saad (UMS) selain beberapa individu lain.
Hujung
minggu lepas, ahli PSS sekali lagi dibuka peluang untuk mendalami
cabang ilmu fardhu kifayah tersebut, dengan bimbingan dua tokoh terkenal
perbandingan agama, iaitu Tuan Haji Ayub bin Abdullah dan Tuan Haji
Nicholas Slyvester@Muhammad Abdullah, seorang bekas Pengampun Dosa
Antarabangsa dan seorang bekas Tentera Kristus. Program Pemantapan
Aqidah Fasa 2 ini telah diadakan di SK Pekan Pitas 2, dan merupakan
kesinambungan program fasa pertama yang diadakan di Kota Marudu
sebelumnya.
Wakil PSS yang diketuai oleh Saudara Fairuz Bend,
Setiausaha PSS dan pengelola blog perbandingan agama
renung2fikir2.blogspot.com, bertolak sekitar jam 7 pagi ke Pitas. Salah
seorang penceramah, Tuan Haji Ayub diberi slot untuk berceramah kepada
saudara baru di Masjid Kota Marudu, dengan ditemani oleh seorang ahli
PSS. Kehadiran begitu menggalakkan, dengan hampir 220 orang saudara baru
yang hadir. Kami difahamkan mereka mengikuti kelas pengajian berkala
setiap minggu di masjid tersebut, dan kehadiran saudara baru adalah
konsisten seramai 200 orang setiap minggu. Tahniah JHEAINS Kota Marudu!
Ceramah Tuan Haji Ayub bersama saudara baru di Masjid Pekan Kota Marudu
Rombongan
kedua bersama Tuan Haji Nicholas Sylvester meneruskan perjalanan ke
Pitas bagi melangsungkan program utama di sana. Program selama 2 hari 1
malam itu, yang dihadiri kira-kira 100 orang ustaz, guru, pelajar dan
penduduk dari daerah Pitas, Kota Marudu dan Kudat nyata memberikan input
bermanfaat kepada para peserta program berdepan dengan pelbagai ancaman
aqidah mutakhir ini. Ramai yang tidak menyangka bahawa wujudnya
pelbagai persamaan antara agama Islam dan Kristian, yang mana banyak
suruhan Allah juga terdapat di dalam Bible, misalnya suruhan berkhatan
(Genesis 17:14), tegahan memakan khinzir (Lev 11:7-8), dan arahan
bertudung (1 Cor 11:5-6). "Jadi, kalau orang Kristian tidak mengamalkan
apa yang ada dalam kitab dia tapi orang Islam yang mengamalkan, maka
mereka lebih Kristian daripada orang Kristian!" Tuan Haji Nicholas
menyimpulkan, separuh bergurau.
Forum yang diadakan pada
sebelah malamnya di Masjid Kampung Kalumpang, Pitas. Moderator ialah
Ustaz Bungsu@Aziz bin Jaafar, dan panel ialah kedua-dua bekas paderi.
Misi
PSS tidak berakhir setakat itu. Rupanya ada tugas lain yang Allah minta
selesaikan. Pada hari pertama program, dengan tidak sengaja, seorang
makcik cleaner di SK Pekan Pitas 2, Makcik Regina Dayari meluahkan yang
beliau telah 18 tahun memeluk agama Islam tetapi tidak pernah mendapat
bimbingan berkenaan Islam, lebih-lebih lagi setelah suaminya meninggal
dunia. Apabila berhubung dengan pihak yang sepatutnya untuk bertanyakan
perihal tersebut, beliau dilayan dengan kurang baik dan dituduh hanya
mahukan wang.
Pagi Ahad itu, dengan ditemani Encik Nordin, sedang
yang lain sibuk berprogram, kami mencuri peluang untuk menziarahi
Kampung Saab, tempat makcik tersebut tinggal. Menempuh perjalanan yang
agak mencabar, kami disambut oleh beliau di sebuah rumah usang
peninggalan arwah suaminya, yang kini didiami 8 beranak. Setengah jam di
sana, kami dimaklumkan bahawa terdapat kira-kira dua puluh keluarga
berbangsa Sungai yang tinggal di sana, yang selama ini teraba-raba
mencari erti agama Islam setelah beralih dari agama pagan. Kami berjanji
akan melakukan sesuatu. Kami mengatur langkah untuk pulang..
Merenung jauh masa depan dirinya dan anak-anak..
Penduduk
Kampung Saab, kami tidak akan membiarkan aqidah kalian dinodai sekali
lagi oleh manusia tidak bertanggungjawab, kami tidak akan merelakan
kalian memandang remeh pada agama Islam dengan sebab sesetengah pihak
yang sambil lewa melaksanakan tugas, dan kami sesekali tidak akan redha
membiarkan kalian kembali kepada kegelapan!
sumber:aktivis PSS -nurilhakim
Kebersamaan Teras Kebangkitan
Thursday, January 09, 2014
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment