Thursday, January 09, 2014

Meluaskan Konsep 'Hormat Ramadhan'


Ketika banyak sekali hujah-hujah dan respon yang dikeluarkan ke atas kes Kartika Dewi Shukarno, saya tertarik untuk memberi sedikit fokus kepada sebab awal yang menjadi penghalang hukuman ke atasnya diteruskan – kerana menghormati bulan Ramadhan. Saya cukup optimis memandang isu ‘menghormati’ bulan Ramadhan merupakan satu usaha yang sangat baik kerana dengan adanya ‘hormat’ ini akan membawa kita kepada satu tahap lagi iaitu ‘perolehan barakah’.

Tetapi apa yang menjadi persoalan ialah sejauh mana usaha ini diperluaskan dan direalitikan secara menyeluruh? Adakah wajar kita menganggap hanya beberapa perkara sahaja yang perlu diberhentikan atau ditangguhkan atas alasan menghormati bulan yang mulia ini? Sudah tentu jawapannya tidak! Justeru ada beberapa perkara yang ingin saya usulkan kepada pihak berkuasa jika mereka benar-benar ingin merealisasikan konsep ‘ Hormat Ramadhan ‘:
1- Menyeru rakyat melaksanakan solat sunat terawih
Solat terawih yang disunatkan ke atas semua umat Islam hanya dilaksanakan di dalam bulan Ramadhan sahaja. Saya cukup faham bahawa solat ini hanya sebuah tuntutan dan bukannya kewajipan. Akan tetapi, jika benar pihak berkuasa ingin mendidik rakyat agar menghormati Ramadhan, maka adalah wajar mereka menyeru rakyat secara besar-besaran untuk melaksanakan solat sunat terawih agar memperoleh keberkatan daripadanya.

2- Menutup pusat-pusat hiburan ( kelab malam / pub ) di sepanjang Ramadhan.
Realitinya di Malaysia, sepanjang tahun pusat-pusat hiburan tidak pernah ditutup, bahkan siapa pun bebas memasukinya tanpa halangan. Justeru tidak menjadi suatu yang mustahil jika pusat-pusat hiburan ditutup hanya pada bulan Ramadhan kerana menghormatinya. Apatah lagi majoriti rakyat Malaysia adalah beragama Islam. Saya juga yakin dan percaya rakyat yang bukan Muslim juga akan memahami bahawa perkara ini adalah tuntutan dalam agama Islam.

3- Perintah menutup aurat & berpakaian sopan di dalam semua program televisyen semasa.
Seperti sedia maklum, antara program televisyen yang disiarkan secara harian ialah berita TV dan program berbentuk ‘talk-show’. Justeru bagi menghormati bulan Ramadhan yang mulia, pihak berkuasa seharusnya mengeluarkan perintah agar semua pembaca berita dan pengacara rancangan-rancangan ‘talk-show’ menutup aurat ( bagi yang Muslim ) dan berpakaian sopan ( bagi yang bukan Islam ). Jika perintah ini benar-benar direalitikan, saya yakin rakyat yang menonton mereka juga pasti lebih terhibur dek kerana kemanisan & keayuan mereka yang lebih terserlah dengan berpakaian sopan. Bahkan bonusnya, perolehan barakah di bulan ramadhan.


Jika hanya untung rugi yang dipertimbangkan dalam konsep ‘Hormat Ramadhan’, maka menjadi suatu yang tidak wajar hukuman ke atas Kartika ditangguhkan. Beliau sendiri turut meminta hukuman tersebut diteruskan atas alasan wujudnya kesedaran dalam diri beliau ingin memperbaiki ( islah ) diri dan memberi pengajaran kepada orang lain. Bukankah suatu yang menguntungkan jika ada rakyat Malaysia yang sedar dan mahu menuju ke arah yang lebih baik? Justeru saya menyeru kepada pihak berkuasa agar mereka menggunapakai konsep ‘hormat Ramadhan’ di tempat yang wajar dalam keadaan yang rasional, bukan hanya bagi kepentingan tertentu. Rakyat Malaysia- bersatu atas nama kebaikan. Salam Kemerdekaan.


Daripada :
Siti Nadzirah Bt Majeed
Setiausaha Agung MARSIS Training & Services

0 comments:

Post a Comment