Oleh: MUHAMMAD NADIR AL-NURI KAMARUZAMAN
PENULIS
bersama-sama beberapa orang rakan pernah turun menyantuni masyarakat
Kg. Suluk di Likas kira-kira dua tahun dahulu apabila rumah mereka
dirobohkan. Ketika itu penulis menjadi Exco Kerohanian dan Sahsiah
Majlis Perwakilan Pelajar UMS, sekaligus Pengerusi Ikatan Sahabat EKSAH
UMS.
Asalnya
tinjauan yang dilakukan bertujuan untuk bertemu orang kampung dan
bertanyakan khabar mereka, memandangkan 'kemusnahan' secara tiba-tiba
terhadap tempat tinggal mereka dapat dilihat dengan jelas bilamana
penulis melepasi bulatan Yayasan Sabah ke Kota Kinabalu.
Tetapi
apabila melihat keadaan penduduk yang terbiar dan tiada pilihan selain
bertahan di balik runtuhan rumah masing-masing untuk berlindung daripada
panas dan hujan, penulis tidak sampai hati membiarkan mereka
bersendirian.
Justeru
meskipun tanpa restu pihak universiti yang bimbangkan keselamatan kami,
bantuan dan sumbangan dikumpulkan melalui semua saluran yang ada, dan
syukur alhamdulillah, penduduk di sana sekurang-kurangnya mendapat
bekalan makanan dan pakaian untuk beberapa hari.
Sejarah
Kg. Suluk berulang lagi. Sejak 12 April 2010, perobohan rumah penduduk
bermula pula di Kg. Bakau. Penulis difahamkan tujuannya ialah untuk
menghapuskan perumahan setinggan PTI dan imej kampung tersebut yang
kotor, tetapi pelik bunyinya kerana majoriti penduduk merupakan pengundi
berdaftar dan merupakan pengundi tegar BN. Lebih pelik lagi, kampung
tersebut pernah memenangi pertandingan Kampung Terbersih anjuran DBKK
sendiri sebanyak beberapa kali.
Maka
barangkali benar apa yang dikatakan seorang pemimpin masyarakat
tempatan, bahawa keadaan kampung sekarang berpunca daripada pihak
kerajaan yang dengan tindakan mereka mengancam sejak dahulu untuk
merobohkan kawasan tersebut, menyebabkan penduduk mahu tidak mahu
menjaga keselesaan dan kecantikan tempat mereka sendiri.
Apapun
isunya, penulis tegas berpendapat tidak ada manusia yang layak
dibiarkan hidup bergelandangan. Tidak ada kanak-kanak yang sepatutnya
terpaksa berteduh dibawah runtuhan rumah sendiri. Tidak ada perut yang
boleh dibiarkan berlapar semata-mata kerana dapur mereka telah
diranapkan.
Penduduk
Kg. Bakau tidak diberikan pampasan, dan rumah sewa yang ditawarkan
kepada mereka di Telipok Ria, walaupun sudah dibayar sewa dan kos
membaiki kerosakan, rata-ratanya tidak mempunyai bekalan air dan
elektrik. Malah, tandas di rumah flat kos murah itu bocor di tingkat
sebelah atas, menyebabkan apabila jiran membuang air besar, penghuni di
bawah terpaksa menadah hasilnya!
Beberapa
penduduk yang sempat ditemubual mengakui kecewa dengan sikap kerajaan
yang menghalalkan cara dan membelakangkan perikemanusiaan untuk mencapai
matlamat, termasuklah Adun Karambunai, Datuk Jainab Ahmad yang hanya
menabur janji manis tetapi langsung tidak kelihatan sepanjang operasi
perobohan.
Mereka
mengakui diri mereka hanyalah semut-semut yang tidak mampu bangkit
melawan 'kegajahan' kerajaan. Malangnya buat pihak yang berkuasa, bukan
semua rakyat berasa kecut dan rendah diri untuk berhadapan dengan pihak
kerajaan.
PSS
bersama rakan-rakan NGO akan terus tetap membela nasib marhaen yang
terhimpit dan menyeru pihak lain mengambil tindakan sewajarnya bagi
menunjukkan keprihatinan terhadap masyarakat yang tertindas. PSS
mengalu-alukan sebarang bantuan dalam bentuk kewangan dan lain-lain bagi
meringankan beban penduduk Kg. Bakau.
(Nota: Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah)
sumber : sabahkini.net
0 comments:
Post a Comment