Wednesday, February 26, 2014

Pengamatan Sirah Daripada Perspektif Politik

Beberapa persoalan politik dan hubungkaitnya dengan sirah Nabawiyyah pada zaman Rasulullah s.a.w. yang mungkin pernah kita temui atau terlintas di fikiran.

“Ada apa dengan politik dan Islam?”
“Bagaimana yang dimaksudkan politik Islam!”

Definisi politik berbeza mengikut latar belakang seseorang yang mengambil kira pendidikan seseorang itu, latar belakang keluarganya mahupun corak pemikiran masyarakat sekitarnya. Persepsi negatif atau positif bergantung kepada faktor tersebut  yang mempengaruhi garis pandangannya. Bagaimana pula dengan politik yang diamalkan Rasulullah? Sebelum itu, alangkah baik untuk lebih memahami asal usul atau definisi politik itu sendiri.

Politik berasal daripada perkataan greek iaitu ‘polis’ yang bermaksud kajian tentang kenegaraan, juga bermaksud pengurusan atau pentadbiran. Justeru, mereka yang menganggap bahawa politik ialah demokrasi, politik ialah pilihanraya, telah melakukan kesilapan besar dalam memahaminya  sedangkan skop politik itu luas dan bukan sekadar itu sahaja. Umumnya politik boleh difahami sebagai pentadbiran. Mengurus kelas juga memerlukan politik, mengurus keluarga juga memerlukan politik, bahkan kebanyakan perkara memerlukan politik kerana maksudnya secara umum ialah pentadbiran!

Ketika menyelak kembali lembaran sirah Nabi Muhammad saw, salah satu perkara yang boleh dilihat sebagai pemudah cara memahami  strategi politik adalah dengan memfokuskan kepada sejarah penubuhan Madinah. Politik dalam Islam haruslah diteliti dan difahami secara stumul bagi membuang tafsiran yang negatif dalam memahami politik itu sendiri. Di samping itu, ramai hari ini membaca sejarah Rasulullah secara juz’iyyah atau secara tidak menyeluruh, bahkan gagal memahami tema yang dipaparkan seperti konteks politik dalam sejarah.

Pada suatu masa, ketika Nabi Muhammad saw dilantik menjadi Rasul, baginda telah pun menyedari bahawa baginda akan menjadi ketua Negara. Oleh sebab itu, tidak dapat dinafikan aspek kekuasaan dan politik diperlukan dalam meyebarluaskan dakwah Islam. Pengamatan sirah Rasulullah secara mendalam akan menemukan bahawa kebanyakan perisitiwa yang berlaku atau perbuatan dalam  kehidupan Rasulullah adalah ke arah pemerintahan.
Dalam lipatan sirah Rasulullah saw, pelbagai kecaman dan tentangan yang dihadapi oleh Rasulullah saw. Salah satu daripadanya adalah daripada bapa saudara
 Rasulullah saw sendiri, Abu Lahab. Ringkasnya, bagaimana hebatnya hinaan dan serangan Abu Lahab kepada Rasulullah saw sehingga Allah menghina Abu Lahab dengan menurunkan satu surah khas menyebut kerendahan Abu Lahab iaitu Surah al-Masad yang berbunyi;


 Jika diamati melalui aspek politik, inilah adalah salah satu serangan politik berbentuk propaganda kepada Abu lahab sebagai pemimpin Quraisy pada masa itu dengan menjatuhkan maruah di samping menjejaskan kewibaannya.

Dalam fasa penubuhan Negara Madinah, iaitu setelah hijrahnya Rasulullah dari Makkah ke Madinah bersama-sama para sahabatnya dan diterima baik oleh orang-orang anshar, Islam telah berkembang, tersebar luas dan diterima oleh banyak kabilah-kabilah arab.  Kekuatan dan ekonomi Madinah telah menjadi kukuh.  Orang-orang arab Quraisy Makkah tidak senang hati dengan kemajuan ini. Salah satu strategi politik Rasulullah dapat dilihat melalui penghantaran tentera ke sempadan Madinah untuk mengawasi dan bersikap berjaga-jaga. Hal ini demikian, apabila tertegaknya sistem Islam, sudah pasti berlakunya perang dingin antara Madinah dan Makkah disebabkan permusuhan yang berlaku berpunca daripada orang musyrik Quraisy itu sendiri.  

Antara strategi politik yang menarik juga adalah dalam peristiwa penurunan ayat  217, Surah al-Baqarah.

 Sebab turun (sababun nuzul) ayat ini, menurut riwayat dari Ibn ‘Abbas, bahwa Rasulullah saw pada  bulan Jamadil Akhir, dua bulan sebelum perang Badar, mengutus ‘Abdullah Ibn Jahsy membawa satu pasukan untuk menghadang kafilah orang Quraisy yang terdiri dari ‘Amr Ibn ‘Abdillah dan tiga orang lainnya. Pasukan tersebut berhasil membunuh ‘Amr dan menahan dua orang dan mengiring  kafilah tersebut beserta dagangannya. Peristiwa ini terjadi pada awal bulan Rajab, tetapi mereka menyangka bulan Jamadil Akhir. Maka orang-orang Quraisy mempersoalkan tindakan tersebut dengan menyatakan bahawa: Muhammad telah menghalalkan bulan haram sebagaimana sepatutynya  pada bulan itu orang-orang merasa aman untuk mencari kehidupan. Kemudian Rasulullah saw menghentikan kafilah tersebut, tetapi mereka berkata: Kami akan berhenti hingga sampai ke tempat kembali kami. Kemudian turunlah ayat;

“Mereka bertanya kepadamu tentang berperang pada bulan haram.  Katakanlah:Berperang pada bulan haram itu adalah dosa besar; tetapi (menghalangi) manusia dari jalan Allah, kafir kepada Allah, (menghalangi masuk)  masjid  al haram dan mengusir penduduknya dari sekitarnya, lebih besar dosanya di sisi Allah. Dan berbuat fitnah lebih besar dosanya dari pada membunuh. Mereka tidak hentu-hentinya memerangi kamu sampai mereka dapat mengembalikan kamu dari agamamu (dari kekafiran), seandaiunya mereka sanggup. Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.  Al Baqarah : 217.

Dalam ayat ini disebutkan bahawa fitnah yang dilakukan oleh kaum musyrik itu lebih besar daripada pembunuhan yang berlaku. Fitnah yang dimaksudkan ialah penganiayaan kaum musyrik Quraisy terhadap orang Islam di Makkah. Di sini terselahnya strategi politik Rasulullah saw dengan panduan wahyu Allah bagi menjawab propaganda buruk berbentuk tuduhan yang dilontarkan oleh kaum musyrik Quraisy.  

Kesimpulanya, banyak lagi peristiwa dalam sirah Rasulullah saw yang boleh dianalisi menerusi perspektif politik. Variasi ibrah dapat diambil bagi membersihkan tuduhan-tuduhan orientalis terhadap Rasulullah saw. Salah satu perkara yang sepatutnya diperbetulkan, umat Islam itu sendiri sepatutnya melihat sirah Rasulullah saw itu dalam segenap aspek, bukan sekadar menjdi bahan bacaan biasa untuk melunaskan hobi membaca.

Lujnah Tarbiyyah MARSIS 13/15

0 comments:

Post a Comment