Tuesday, December 23, 2014

Anak muda Sabah membantah tindakan INTERPOL


Mahasiswa dan Anak Muda Sabah bersatu membantah kenyataan notis penangkapan terhadap Ulama dunia, Prof. Dr. Sheikh Yusuf al-Qaradhawi oleh  (Organisasi Polis Jenayah Antarabangsa) INTERPOL.

MARSIS (Markaz Siswa Siswi Islam Sabah) selaku pertubuhan mahasiswa Islam Sabah yang berdaftar,  bersama-sama seluruh anak muda Sabah serta seluruh umat Islam membantah tindakan  Organisasi Polis Jenayah Antarabangsa (INTERPOL) yang mempunyai niat untuk menangkap Ketua Ulama Sedunia, Prof. Dr. Sheikh Yusuf al-Qaradhawi seperti yang dipaparkan oleh kenyataan INTERPOL  yang mengeluarkan waran penangkapan ulama sedunia itu. INTERPOL telah memasukkan Sheikh Yusuf al-Qaradhawi, ketua persatuan ulama Muslim dunia (IUMS), dalam daftar pencarian orang yang sangat dikehendaki. 

Hal ini demikian, ulama terkenal dunia Islam itu disabitkan dengan tuduhan seperti menghasut dan membantu pembunuhan antarabangsa, membantu banduan melepaskan diri daripada penjara serta aktviti vandalisme dan kecurian. Penyataan ini adalah satu tuduhan yang bersifat melulu, dan tidak dibuktikan secara jelas.

Tambahan pula, kerahan penangkapan itu dikeluarkan atas permohonan Pendakwaraya Mesir, Jeneral Hisham Barakat terhadap pihak INTERPOL untuk menahan Prof. Dr Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa Mesir pada Disember tahun lepas. Ini menzahirkan tindakan INTERPOL adalah atas pengaruh pihak luar (Mesir) bukan berdasarkan kajian dan bukti yang jelas.

Tindakan Mesir ini adalah suatu tindakan yang meragukan kerana seluruh dunia sebelum ini telah menyaksikan penindasan politik terhadap rakyat Mesir di samping pelbagai lagi kezaliman yang berlaku.  
 
Perlu diingat bahawa Malaysia dahulu  telah menobatkan Prof. Dr. Sheikh Yusuf al-Qaradhawi sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabanga pada tahun 2009 serta anugerah Ijazah Kehormat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada tahun 1996. Selain itu, sumbangan beliau yang besar dan tidak terkira dalam keilmuan dan dunia Islam tidak dapat disangkal lagi.  

Sheikh ketika dihubungi dan ditanya tentang penyataan cubaan penangkapan INTERPOL terhadap beliau, beliau memberi komen bahawa beliau sudah berusia 88 tahun tidak boleh bergerak pergi atas faktor kesihatan, bahkan memerlukan bantuan pembantunya. Ini adalah sesuatu yang mengelirukan apabila beliau disabitkan dengan tuduhan sebagai pengganas!

MARSIS berpandangan bahawa isu inilah bukan semata-mata isu agama tetapi melibatkan soal keadilan dan perikemanusiaan.

Di samping itu, MARSIS berpendapat tegas bahawa OIC sebagai sebuah badan penting di dunia Islam hendaklah menjalankan peranan bersama lain-lain NGO di seluruh dunia, mencari jalan terbaik bagi menyelamatkan Prof. Dr. Yusuf Sheikh al-Qaradawi dari penganiayaan dan penghinaan ke atas diri beliau!

Oleh sebab itu, MARSIS menyeru seluruh anak muda Sabah untuk mengambil sikap prihatin dan cakna terhadap isu ini seterusnya bersatu membantah tindakan INTERPOL terhadap Prof. Dr. Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi. Pelbagai cara boleh dilakukan sebagai tanda protes walaupun secara kempen di media sosial dan ini merupakan suatu usaha yang dianggap baik untuk menarik perhatian masyarakat terhadap isu ini.

MARSIS mewakili seluruh anak muda Sabah, bersama-sama NGO-NGO Malaysia lain, dan seluruh warga Malaysia memohon Kerajaan Malaysia supaya segera mengambil usaha tegas serta bersama-sama dengan beberapa buah kerajaan di dunia Islam untuk membantah tindakan MESIR yang menyebabkan INTERPOL menyenaraikan Prof. Dr. Sheikh Yusuf al-Qaradawi sebagai salah seorang yang terlibat dengan keganasan!

Bersatu untuk keadilan!

“MARSIS Prihatin!”

Muhammad Syarifuddin Sabri
Exco Tarbiyyah MARSIS Pusat


0 comments:

Post a Comment