TRAGEDI sedih
penderaan seorang kanak-kanak, Fansyarina Abdullah, 7, di Tanah
Rancangan Felda Sahabat Lahad Datu telah menyingkap hijab yang menutupi
kemegahan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dalam bidang
konglomerat perladangan.
Ketua Cawangan UMNO Tanjung
Labian, Bahagian Silam, Kunsul Nahul, 53, berpendapat Felda kini gagal
mengeluarkan para peneroka di Tanah Rancangan Felda daripada kepompong
kemiskinan, sebaliknya memenjara mereka di ‘Sangkar Emas’ ciptaan Felda
yang tidak kelihatan di mata kasar.
“Walaupun di atas kertas, para
peneroka Felda menerima lebih RM1,500 sebulan daripada hasil 5.66 hektar
kebun kelapa sawit mereka, namun hakikatnya mereka hanya membawa pulang
RM50 sebulan; yang memenjarakan mereka terus di kancah kemiskinan
tegar,” ujar Kunsul yang agak kesal dengan sikap pengurusan Felda di
Sabah yang cuba menyembunyikan kebenaran daripada pengetahuan umum.
Oleh kerana para peneroka yang
ramai anak tidak lagi dapat bergantung harap kepada tanah rancangan
mereka, maka bagaikan burung, ramai di antara mereka terpaksa
meninggalkan anak isteri untuk bekerja di luar dan ada di antaranya
terpaksa berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari nafkah.
“Akibatnya, ramai isteri
peneroka yang stress dan mengalami kemurungan apabila suami mereka
mempunyai isteri lain di tempat kerja baru dan mengabaikan mereka.
Kemiskinan menyebabkan mereka hilang kawalan diri dan bertindak ganas
melepaskan geram kepada keluarga tersayang. Maka terjadilah penderaan
dan keruntuhan rumah tangga,” ujar Kunsul yang menyifatkan kes penderaan
di Felda Sahabat Anjung Teduh merupakan kes terpencil, namun ianya
menjadi barah dalam daging masyarakat Felda yang dihimpit hutang yang
bertimbun dan dinafikan hak mereka untuk bersuara.
Dalam kes penderaan yang kini
masih dalam siasatan polis, kata Kunsul, seorang nenek kandung telah
mendera cucunya sehingga mengalami trauma kerana tidak mempunyai
pendapatan untuk menyara persekolahan anak dan cucunya; apatah lagi
suaminya bernikah lain dan mengabaikannya sejak lima tahun lalu.
“Felda bukan sahaja gagal
menangani masalah kegelinciran moral dan membebaskan peneroka daripada
hutang yang semakin bertimbun, terutama memaksa peneroka mengambil
pinjaman membesarkan rumah; malah cuba menjadikan Felda sebagai Wilayah
Persekutuan yang baru dengan menggali parit di sekeliling ladang yang
bersempadan dengan tanah adat dan mengimport ramai pekerja daripada
Semenanjung,” ujar Kunsul yang meminta pihak pengurusan Felda lebih
prihatin terhadap para peneroka yang selama ini mengalirkan keringat,
darah dan airmata untuk membayar gaji pegawai yang sering lupa daratan.
“Secara luaran kita lihat para
peneroka kaya kerana rumah mereka cantik dan berkereta besar. Ada yang
macam istana, tetapi sebenarnya mereka berusaha mencari pendapatan di
luar dan bukan daripada hasil kebun mereka. Ramai dibelit hutang antara
RM20,000 hingga RM40,000 untuk membaikpulih atau membina rumah mereka,”
ujar Kunsul yang menggesa agar Ahli Lembaga Felda, Datuk Suhaili Said
bangun daripada tidur untuk berpijak di bumi nyata.
Tegas Kunsul, sebagai Adun
Tungku, Suhaili tidak mempunyai keberanian untuk berkata benar di Dewan
Undangan Negeri Sabah dan gagal menasihati Felda untuk membela 872
peneroka yang dibebani dengan hutang dan berada di lingkungan putaran
ganas kemiskinan.
Dalam pada itu, Sabahkini.net
telah menjalankan kajian rambang dan mendapati dakwaan Kunsul adalah 100
peratus benar dan berdasarkan ‘slip gaji’ atau penyata pendapatan
peneroka; memang benar kesemua 872 peneroka Felda di Lahad Datu adalah
miskin tegar.
Berikut adalah contoh ringkasan akaun pendapatan Peneroka Sahabat 1, Anjung Teduh yang berjaya diselidik krew Sabahkini.net;
Nama Peneroka: AWANG OMAR BIN JAWATAN
Jumlah Pendapatan: RM 1,579.84
Jumlah Potongan: RM1,529.84
Baki Tunai: RM50.00
Nama Peneroka: ABDUL SALAM BIN AMBO RAPPE
Jumlah Pendapatan: RM 1,579.84
Jumlah Potongan: RM1,329.18
Baki Tunai: RM250.66
Nama Peneroka: MOHD ALI @ JAPAR BIN MIRAL
Jumlah Pendapatan: RM 1,579.84
Jumlah Potongan: RM1,529.18
Baki Tunai: RM50.66
(Nota: Potongan termasuk CBC,
Bayaran Kembali, Caruman Hari Raya, Potongan JKKR, Kedai, Pinjaman Besar
Rumah, Pendahuluan Tunai, Tanam Semula dan sebagainya.)
berita penuh sila rujuk : Sabahkini.net
0 comments:
Post a Comment