Friday, September 20, 2013
TINTA Timb.Presiden Marsis 08/09
Assalamualaikum w.b.t
Yang terbenam ada terbitnya. Yang malam ada siangnya. Kini semester baru bermula lagi setelah mengharungi musim cuti yang pasti telah diisi dengan pelbagai pengisian holistik sesuai dengan sayembara kita sebagai rijal ad-dakwah . Beg dan fail kembali dibimbit. Langkah kaki semakin laju berlumba dengan waktu. Masing-masing memasang azam baru…” insyaAllah, kejayaan milikku.. ”
Sahabat-sahabat yang dikasihi,
Setinggi-tinggi kesyukuran dirafakkan ke hadrat Allah Maha Pencipta. Kita masih diberi kesempatan meneruskan sisa-sisa nafas dan degup nadi dalam kesinambungan iman dan Islam. Sedar tak sedar, usia kita bertambah lagi sesuai fitrahnya. Dan seperti tahun-tahun sebelumnya juga, kita sekali lagi dikurniakan ‘ adik baru ’ yang bakal menambah keceriaan di sepanjang titi kehidupan kita sebagai mahasiswa.
Anak-anak ibarat kain yang putih lagi suci. Terserah kepada ibubapa untuk melakarkan coraknya. Dalam konteks kita sebagai senior di kampus, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk sama-sama membimbing adik-adik junior ke arah satu dimensi kehidupan yang lebih terpimpin dalam pelbagai aspek samada akademik,kebajikan mahupun kewangan. Memang benar, kita bukanlah ibubapa yang sepatutnya mencorakkan fitrah mereka, tetapi kita adalah penunjuk arah yang sentiasa sedia menghulur bantuan demi memastikan mereka (junior) tidak terjerumus ke dalam lembah yang salah. Kita juga punya amanah sebagai saudara seIslam yang tahu dan mahu memberi tunjuk ajar kepada mereka dalam menelusuri tribulasi mandat kemahasiswaan ini. Jika dimurahkan rezeki, adik-adik baru ini pula yang akan menggantikan kita sebagai agen-agen dakwah di kampus sekaligus menyemarakkan semangat Islam di mana jua mereka berada, insyaAllah.
Justeru kepada agen-agen dakwah Islam yang baru, selamat memikul mandat kemahasiswaan dan semoga kalian sentiasa diiringi kejayaan. Masa yang kita ada, masih terlalu sedikit berbanding tanggungjawab yang perlu kita laksanakan .
Sahabat-sahabat seperjuangan,
Sebagai seorang penggerak amal Islami, masing-masing sudah maklum dan arif bahawasanya pundak kita sentiasa tergalas dengan amanah Islam yang tidak bergaji. Kita selalu disibukkan dengan gerak kerja dan aktiviti yang peritnya tiada siapa yang tahu kecuali Allah. Meskipun begitu kita masih gagah berhempas pulas melaksanakannya berkat keyakinan bahawa, gaji dan imbalan sudah di bank in ke akaun akhirat kita. Alangkah bertuahnya hidup sebagai insan yang tahu dan mahu dalam kerangka jemaah dan Islam yang syumul. Segala puji hanya bagiNYA.
Namun, perlu kita sedar bahawa amanah kita bukan sekadar melengkapkan gerak kerja Islam semata-mata sehingga kita mengabaikan fokus utama keberadaan kita di varsiti tadahan ilmu ini. Kita masih ada ruang akademik yang perlu diberi perhatian khusus. Selalu kita dilagukan dengan kenyataan “ kerja jemaah no.1 tapi akademik bukan no.2”. Jika akademik bukan no.2, lantas di mana letak duduknya tuntutan akademik itu? Boleh jadi di tempat ke-3, atau mungkin ke-10? Tepuk dada,tanya iman. Justeru,saya menyeru sahabat-sahabat agar melipatgandakan usaha demi mencapai keunggulan akademik kerana akademik juga merupakan tiket keberjayaan kita di medan dakwah sebenar. Sama-sama kita laungkan “ jemaah pertama,akademik utama ”… insyaAllah.
Jagalah Allah, Dia akan menjagamu.Ibadah bukanlah satu perkara yang boleh dipandang ringan. Dalam sesi akademik yang baru ini, wajarlah kita imbas kembali penerapan nilai tarbawi yang sudah kita laksanakan sepanjang bergelar `abidullah ini. Masihkah kita terus-terusan melaksanakan solat di awal waktu? Masihkah kita melazimi bacaan ayat-ayat Allah yang maha suci lagi agung? Sudahkah kita merajinkan diri untuk menghidupkan sepertiga malam dengan zikir dan tahajud? Seringkah kita menjaga akhlak dan adab sesama makhluk? Jawapannya ada pada diri kita sendiri. Tidak perlu menunggu arahan daripada sesiapa untuk kita menyedari ketinggian nilai ibadah tersebut. Sebaliknya sebagai pekerja Islam yang berbaiah, kita sepatutnya lebih maklum akan kondisi rohani masing-masing. Jika kita sanggup berpayah dan mengorbankan wang untuk top-up handphone ( untuk amal Islam, insyaAllah ), kenapa
tidak kita cuba berusaha untuk top-up amalan ibadat dan taqarrub kita kepada Allah? Justeru, sama-samalah kita bermuhasabah dan bermujahadah dalam meninggikan nilai ibadah dalam diri kita. Kita cuba sedaya mungkin untuk sentiasa berdamping dengan kitab-kitab fiqh dan haraki dan berdoalah agar dipermudahkan tugas kita sebagai agen resurgensi ummah…insyaAllah.
Maju terus maju..
Sahabat-sahabat fillah,
Perjalanan kita masih jauh. Tribulasi dakwah masih terlalu banyak yang belum ditempuh. Sebagai penggerak Islam amnya, dan jundi-jundi MARSIS khasnya, saya menyeru agar kita sentiasa sabar, tabah dan berjiwa besar dalam apa jua situasi mendatang. Berfikiran positif dan selalu memberi ruang kepada pertimbangan akal dan hati dalam menghadapi bermacam bentuk krisis dan kontroversi. Jangan cepat mengalah mahupun melatah. Kita tidak rela Islam tercalar gara-gara obsesi kita yang terlalu memenangkan diri sendiri dan saling menyalahkan antara satu sama lain sedangkan kita mengaku bergerak dalam satu naungan yang sama. Buang yang keruh ambil yang jernih. Kita kukuhkan kembali benteng ukhwah dan kembalikan semangat berjemaah kerana kesatuan kita adalah pemankin kepada kebangkitan dan keberlangsungan Islam selari dengan tema MARSIS sesi ini “KEBERSAMAAN WADAH KEBANGKITAN”
Akhirulkalam, saya memohon maaf atas segala keterlanjuran kata. Semoga sesi baru ini bakal membawa rentak yang baru juga dalam gerak kerja dan kegiatan MARSIS selepas ini. Komitmen daripada kalian amat diharapkan agar bersama-sama kita mengharungi ranjau dan duri perjuangan kita dengan diiringi ucapan jazakallahukhairan kathiran . Selamat kembali ke kampus dan terus semarakkan amal Islami. Wassalam.
“KEBERSAMAAN TERAS KEBANGKITAN”
Ukhti Halidah Untong
-Timb. Presiden MARSIS Pusat 08/09
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment