Friday, January 10, 2014

Motivasi: Kelemahan

feeling weak?
Adakala manusia rasa lemah. Atau istilah zaman sekarang - DOWN. Tiada siapa terlepas daripada perasaan ini. Ditambah pula, angin kesedihan akan wujud memeluk kita apabila kita berada dalam situasi ini, tambah melemahkan lagi diri kita yang telah sedia lemah ini.

Orang selalu mencari jalan untuk ‘tidak disentuh langsung oleh kelemahan’. Tetapi saya nyatakan di sini, itu adalah jalan yang mustahil dan di hujungnya hanya ada kekecewaan. Kerana, rasa lemah adalah fitrah bagi mereka yang menjalani kehidupan.

Sepatutnya, kita melihat realiti. Dan mencari ‘bagaimanakah apabila disentuh kelemahan, kita mampu mencapai kekuatan’. Di sinilah saya berkongsi. Memperingatkan diri sendiri yang ada kalanya juga disapa angin kelemahan.

Harapan untuk bangkit

Apakah yang ada pada orang-orang yang disapa kelemahan, untuk dijadikan harapan sebagai tenaga bangkit semula? Pada saya, tiada harapan yang bersinar lebih terang di kala kegelapan, melainkan harapan yang dipancarkan oleh keimanan kita kepada Allah SWT.  

Bagaimanakah keimanan kita?
Hubungan kita dengan Allah SWT?

Itulah dia harapan yang akan menyuluh jalan keluar di kala kelemahan.

Dia dan janji-janjiNya
Keimanan tadi akan menarik kita kembali kepada kesedaran. Namun keimanan tadi tidak akan terus melontarkan kita keluar dari kancah kelemahan. Keimanan hanyalah asas, sama hendak gunakannya untuk membina kekuatan, atau sekadar membiarkan.
Dengan keimanan, kita melihat janji-janji Allah SWT yang pasti.
“(Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Dia tidak membenci.” Surah Ad-Dhuha ayat 3.

Keimanan itulah yang akan mengajak kita kembali melihat ke belakang, melihat hari-hari senang yang pernah kita lalui, lantas mewujudkan di hati kita persoalan: “Ketika itu, kala aku senang itu, siapakah yang memberi?”

“Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayah petunjuk)? Dan Kami telah meringankan daripadamu: bebanmu (menyiarkan Islam). Yang memberati tanggunganmu, (dengan memberikan berbagai kemudahan dalam melaksanakannya)?” Surah Asy-Syarh ayat 1-3.

Akhirnya keimanan itulah yang menyatakan bahawa: “Yang memberikan kita kesenangan itulah juga yang akan memberikan kita kesenangan sekali lagi selepas kelemahan ini.”

Tetapi persoalan selepas itu adalah terletak pada diri kita sendiri. Usaha untuk mengeluarkan diri dari kelemahan. Iman sudah menyediakan asas kekuatan.

Apakah kita hendak mengambil kekuatan itu dan bergerak mengeluarkan diri dari kelemahan?

Pastinya bukan sekelip mata

Ada orang mengidamkan fantasi. Kononnya selepas membaca sesuatu yang memotivasi, ketika itu juga terus keadaan berubah menjadi tenang seakan tiada kelemahan yang pernah terjadi. Silap. Kesilapan inilah yang sering membuatkan manusia terperusuk lebih dalam ke arah kelemahan. Apabila dia melihat dia perlukan usaha, dan bersusah payah untuk keluar dari kelemahan, semangatnya luntur dan dia tidak akan mampu keluar.

Sedang realiti adalah, usaha itu diperlukan untuk keluar dari kelemahan. Bukan sekelip mata, tetapi perlukan tabah dan kecekalan untuk mengeluarkan diri daripadanya. Sebab itu diperingatkan akan tidak berputus asa.
“Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” Surah Az-Zumar ayat 53.

Allah itu ada. Maka teruskan usaha.

Penutup: Bergerak atas keimanan. Itu kuncinya.

Benteng terakhir sebelum kita benar-benar tidak akan bangkit, adalah keimanan. Keimanan ibarat bateri yang menggerakkan manusia di atas muka bumi. Kalau itu telah hilang dari diri, jangan cerita fasal kebangkitan mencapai kekuatan lagi. Maka perhatikan semula keimanan kita. Hubungan kita dengan Allah SWT.

Itulah yang menjamin kelansungan kita, dalam perjalanan bangkit daripada kelemahan diri, kepada kekuatan sebagai hamba Ilahi. 

sumber artikel : http://ms.langitilahi.com/motivasi-kelemahan/

0 comments:

Post a Comment